Polis hari ini menyerahkan semula kertas siasatan terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor berhubung dakwaan jenayah seksual dan jenayah kekerasan, kepada Pejabat Peguam Negara.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan bahawa kertas siasatan tersebut telah diserahkan tengahari tadi.

Katanya, kertas siasatan itu adalah berdasarkan kepada siasatan polis pada tahun 1997.

Menurutnya lagi, ia telah diteliti oleh pejabat timbalan pendakwaraya sebelum dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Kertas penyiasatan tersebut pada mulanya, telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada 1997 ekoran laporan yang dibuat oleh seorang surirumah.

Mengikut laporan Sun2Surf, wanita tersebut telah membuat laporan 12 muka surat kepada polis bersama butiran terperinci mengenai hubungann sulitnya dengan Zulkipli yang ketika itu menjadi Ketua Polis Johor dan dakwaan melakukan kekerasan fizikal terhadapnya.

Beberapa dakwaan daripada perbuatan rasuah hingga kepada jenayah seksual terkandung dalam satu laporan yang dibuat tahun lalu oleh bekas pegawai BPR, Mohamad Ramli Manan kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar.

Zulkipli yang juga bekas Ketua Polis Sarawak, dilantik menjadi Ketua Pengarah BPR 2001. Beliau telah menafikan dakwaan tersebut.

Jawatankuasa bebas

Sementara itu, Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), yang mendedahkan laporan tersebut, berkata sebuah jawatankuasa bebas hendaklah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Pengerusnya, Ezam Mohd Noor berkata, hanya melalui penubuhan jawatankuasa tersebut sahaja, kebenaran akan dapat diketahui.

"Kita bimbang pihak berkuasa akan mengelak daripada menangani aduan yang dibuat," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau mengakui sukar untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas "kerana BPR juga mempunyai banyak fail yang membabitkan orang-orang kenamaan".

Ezam turut mengulangi gesaannya supaya dirombak semula BPR, termasuk perlantikan para pegawai tingginya. Beliau juga menggesa supaya pengisytiharan harta kakitangan kerajaan diumum kepada awam.

"Mereka yang memegang jawatan penting dalam kerajaan melalui proses semakan latarbelakang yang tidak telus. Jadi mengapa tidak diumumkan sahaja?" tambahnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh berkata polis harus dibenar menjalankan siasatan rapi terlebih dahulu.

Badan bebas

"Kita harus memberi polis peluang menjalankan siasatan rapi (terhadap semua dakwaan tersebut). Jika siasatan itu gagal mendapat keyakinan rakyat, maka kita boleh menubuhkan sebuah badan bebas untuk menyiasat perkara itu," katanya.

Beliau juga menggesa Musa supaya mengumumkan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak polis pada tahun 1997.

Presiden Transparency International (TI)-Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam turut berkongsi pandangan tersebut.

"Mungkin terdapat alasan berasas, tindakan tidak diambil kerana kekurangan bukti. Apa juga puncanya, pihak berkuasa mesti membuat penjelasan dan bertanggungjawab untuk menunjukkan keseriusan mereka dalam membasmi rasuah dan menegak integriti.

"Oleh itu, jelaskan pada umum mengenai siasatan yang dibuat oleh pihak polis dan mengapa mereka tidak mengambil tindakan," tambahnya.

Beliau menegaskan pentingnya bagi kerajaan bersikap telus dalam perkara ini kerana ia membabitkan "dakwaan yang serius terhadap ketua pengarah BPR sendiri." Berita asal