Transparency International Malaysia (TI-M) menyeru penjawat awam melaporkan rasuah dan salah guna kuasa semasa pilihan raya.

Menyorot pembubaran parlimen tiga hari selepas Belanjawan 2023 dibentangkan, presiden TI-M, Muhammad Mohan mengingatkan bahawa peruntukan yang dibacakan di parlimen itu belum diluluskan oleh parlimen dan kerajaan baru perlu mengemukakan cadangan baru, yang mungkin berbeza.

Justeru, katanya, belanjawan itu kemungkinan hanya untuk menarik pengundi.

“Perkhidmatan awam mesti terus memainkan peranan sebagai entiti bebas dalam mengendalikan dan mengawal proses pilihan raya, dan sebagai pengundi, untuk menyelamatkan negara daripada kemuflisan moral dan kewangan.

"Mengambil kira mekanisme semak dan imbang, penjawat awam perlu melaporkan segala bentuk pemerasan, ancaman, pembelian undi, penyalahgunaan sumber dan jentera awam, dan semua salah guna kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan SPRM.

"Kita perlu mengingatkan wakil rakyat kita bahawa Parlimen yang dibubarkan bukanlah negara yang terbubar, tanpa undang-undang dan ketenteraman," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang perjuang ketelusan itu menyatakan pihaknya kecewa, namun tidak terkejut dengan keputusan kerajaan membubarkan parlimen tiga hari selepas pembentangan Belanjawan 2023 di parlimen.

Perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lalu mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk pembubaran parlimen bagi memberi laluan PRU ke-15 diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pengumuman itu hadir hanya tiga hari selepas kerajaan membentangkan belanjawan terbesar dalam sejarah bernilai RM372.3 bilion, atau bertambah 12 peratus berbanding tahun lalu.