Pergi jahanam dengan mereka, kata Samy Vellu
'Pergi jahanam dengan mereka'. Itulah respons Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu mengenai ancaman pihak tertentu untuk membuat laporan polis terhadapnya kerana didakwa berlaku penyelewengan dalam projek jalan terowong dan pengurusan air banjir (Smart).
'Pergi jahanam dengan mereka'. Itulah respons Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu mengenai ancaman pihak tertentu untuk membuat laporan polis terhadapnya kerana didakwa berlaku penyelewengan dalam projek jalan terowong dan pengurusan air banjir (Smart).
Projek berharga lebih RM2 bilion itu menghubungkan Sungai Besi dan ibukota melalui terowong yang boleh digunakan untuk mengalirkan air banjir dari bandaraya Kuala Lumpur ke pinggir bandar.
Menurut laporan Bernama, Samy Vellu berkata: "Saya juga boleh membuat laporan polis dengan berkata mereka ini cuba menekan saya untuk mendedahkan kadar tol yang masih belum diumumkan...
"...dan mereka berbuat demikian tanpa memtuhi peraturan dan garispanduan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal kebangsaan latihan dan pekerjaan serta siri seminar MIC di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.
Semalam, dalam satu sidang akhbar, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Samy Vellu supaya mendedahkan kandungan perjanjian semua konsesi tol, dalam tempoh tujuh hari.
Jika beliau gagal berbuat demikian, mereka akan mendesak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya mengambil tindakan terhadap Menteri Kerjaraya itu.
Samy Vellu juga ditanya mengenai laporan malaysiakini yang memetik seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai berkata antara lain kadar bayaran tol bagi terowong itu adalah sebanyak RM2.
Belum tetap kadar tol
Pemimpin itu juga mendedahkan anggaran pendapatan daripada hasil kutipan tol dan peningkatan kadar tol seterusnya pada masa depan.
Menurut Samy Vellu, kerajaan kerajaan masih belum memuktamadkan kadar tol bagi terowong Smart sejauh empat kilometer.
Sehubungan itu, beliau membidas keras Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana membuat spekulasi kadar tol projek Smart yang baru siap dan dijangkakan dibuka kepada trafik dalam masa dua minggu lagi.
"Saya mengucapkan tahniah kepada mereka (PKR), mereka boleh membuka pusat maklumat mengenai tol dan mereka boleh membuat pengumuman mengenai kadar tol, biarkan mereka membuat pengumuman itu.
"Mereka (PKR) tidak faham bahawa untuk membina sebuah terowong 4km seperti ini menelan belanja RM600 juta sementara untuk membina jalan sejauh 4km hanya RM45 juta," kata Samy Vellu.
"Adalah mandatori bagi kereta untuk menggunakan terowong itu...jika anda tidak mahu menggunakannya maka anda boleh memlihi menggunakan jalan tanpa tol tetapi ia akan mengambil masa 90 minit bagi anda untuk sampai ke destinasi yang dituju," katanya

