Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN P Pinang serah senarai calon PRU15 kepada pusat

BN Pulau Pinang sudah menyerahkan senarai nama calon kepada pucuk pimpinan pusat bagi 13 kerusi Parlimen di negeri itu dalam menghadapi PRU15, kata pengerusinya Musa Sheikh Fadzir.

Musa berkata BN negeri turut menghantar senarai calon bagi 40 kerusi DUN kepada pimpinan pusat berikutan cadangan DAP Pulau Pinang supaya DUN Pulau Pinang dibubarkan serentak dengan parlimen untuk PRU15.

"Kami juga menunggu keputusan kerajaan negeri sama ada mahu membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya serentak dengan Parlimen atau sebaliknya, kalau tidak bubar (DUN) fokus jentera kepada Parlimen sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, berkata DAP Pulau Pinang telah mencadangkan supaya DUN Pulau Pinang dibubarkan dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

Selain itu, Musa, yang juga pengerusi Umno Pulau Pinang, berkata 60 peratus nama calon Umno yang diserahkan kepada pucuk pimpinan itu merupakan muka baru.

Pada PRU14, BN Pulau Pinang bertanding di 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen dengan Gerakan di 13 DUN dan empat Parlimen, Umno(15 DUN, lima Parlimen), MCA (10 DUN, empat Parlimen) manakala MIC di dua DUN.

Pada 23 Jun 2018, Gerakan secara rasmi keluar daripada BN susulan kekalahan gabungan itu dalam PRU14 dan menyertai PN pada Februari tahun lepas.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS