Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga adalah pengerusi biro strategi dan dasar parti itu, Rais Hussin Mohamed Ariff menyertai PKR hari ini.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

“Hari ini, saya ingin mengambil kesempatan pada sidang akhbar ini untuk mengumumkan kemasukan Rais Hussin sebagai ahli baru PKR.

"Saya mengalu-alukan penyertaan Rais Hussin ke dalam PKR," katanya.

Dia turut mengumumkan bahawa parti itu telah menerima keanggotaan Mohamed Jidi Yaakob, yang pernah menjadi ketua Umno bahagian Bera dan adalah antara “orang kanan” Ismail Sabri Yaakob di sana.

"Saya juga ingin mengalu-alukan Mohamed Jidi Yaakob, yang merupakan bekas pemimpin akar umbi Umno di Bera, yang adalah bahagian yang dipimpin oleh perdana menteri sementara kita, sebelum beliau (Jidi) menyertai Bersatu," kata Anwar.

Mohamed Jidi Yaakob (kiri)

Rais Hussin pada 7 Oktober lalu, mengumumkan keluar daripada Bersatu, parti yang diasakan bersamanya itu.

Katanya, walaupun dia bukan lagi ahli Bersatu, tetapi akan giat meneruskan perjuangan untuk negara yang lebih baik dalam membantu lebih ramai rakyat berdasarkan lima prinsip teras iaitu reformasi, keadilan, keterangkuman, progresif dan wasatiyyah.

Rais Hussin tidak lagi aktif dalam parti itu sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan Emir Research sebuah badan NGO pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.