ULASAN | Bubar parlimen: Gubal akta supaya tak perlu tunggu ‘ilham’ PM
Ketika ini, walaupun parlimen sudah dibubarkan, namun beberapa negeri yang tidak dikuasai Umno-BN, desas-desus untuk tidak membubarkan DUN sudah lama kedengaran.
Selangor misalnya sudah mendapat perkenan Sultan Selangor untuk meneruskan pentadbiran.
Beberapa hari lalu, presiden Umno yang juga pengerusi BN menuduh pembangkang tamak kuasa dan menyebabkan pembaziran apabila tidak mahu membubarkan DUN.
Langkah Sheraton
Untuk memahami situasi yang berlaku, perlulah kita merujuk kepada sejarah PRU. Sebelum PRU14 dan beberapa PRU sebelumnya, kerajaan persekutuan dan majoriti negeri-negeri bawah pentadbiran parti BN. Hanya Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang kekal beberapa penggal bawah parti bukan Umno-BN.
Selepas PRU14, kita melihat Langkah Sheraton yang menyebabkan Pakatan Harapan digulingkan.
Selain itu, mantan ketua menteri Sabah, Musa Aman–yang dilepaskan dari semua pertuduhan mahkamah–hadir bersama Adun yg melompat dari PH/Warisan, untuk menjadi ketua menteri menggantikan Shafie Apdal.
Susulan itu, DUN Sabah dibubarkan walaupun masih belum sampai setengah penggal.
Kemudian kes yang sama berlaku di Melaka disebabkan pergolakan dalaman Umno negeri yang menjurus kepada pembubaran DUN.
Seterusnya pembubaran DUN Sarawak setelah tampat tempoh dan akhirnya sekali PRN di Johor, walaupun Umno-BN sudah berada di tampuk kekuasaan, MB tetap membubarkan DUN atas alasan kestabilan sekali pun masih belum tamat tempoh.
tuduhan ‘pembaziran’ terpilih
Apabila presiden Umno mengatakan tindakan tidak membubarkan DUN sebagai pembaziran, perlu untuk kita lihat sama ada ia tuduhan yang adil ataupun tidak.
Sewaktu ketua menteri melaka dari Umno dan menteri besar Johor–juga dari Umno– membubarkan DUN masing-masing tanpa menunggu pembubaran parlimen, kita tidak pernah mendengar sebarang kritikan dari presiden Umno mengenai pentingnya mengelakkan pembaziran.
Selepas PRU14, negara kita sudah membelanjakan RM420 juta untuk empat PRN yang dilaksanakan secara berasingan, iaitu di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor, berdasarkan jawapan menteri kepada soalan parlimen.
Dan disebabkan itu, kita akan lihat pembubaran mandatori untuk 13 negeri dan persekutuan pada penggal seterusnya adalah seperti berikut (sekiranya negeri bukan dipegang Umno-BN tidak membubarkan DUN sekarang):
2025: Sabah
2026: Melaka, Sarawak
2027: Johor
2027: Persekutuan (satu negara), Perak, Pahang, Perlis
2028: Selangor, Negeri Sembilan, Penang, Kelantan, Kedah, Terengganu
Ini bermakna ditambah dengan kos PRU tahun ini, negara kita akan terpaksa memperuntukkan sejumlah besar perbelanjaan untuk PRN negeri pada tahun hadapan.
Kitaran ini akan berterusan tanpa penamat. Dan setiap selang lima tahun, jumlah wang yang sepatutnya boleh dibelanjakan untuk tujuan pembangunan, terpaksa dihabiskan sebagai kos mengadakan pilihan raya berasingan.
Untuk empat negeri sahaja negara sudah menghabiskan RM420 juta, kemudiannya untuk diadakan PRU pada musim banjir tahun ini, dan seterusnya enam negeri lain tahun hadapan - tidak mustahil untuk kos tambahan mencecah lebih RM1 billion.
Kos PRU 2018 mencecah RM400 juta sahaja bagi 12 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan!
Betapa ruginya negara apabila jumlah wang yang besar sebegitu habis hanya disebabkan politikus berebut peluang untuk kembali berkuasa.
Dan peruntukan yang sepatutnya kita dapat gunakan untuk membangunkan negara dan juga generasi hadapan, hilang begitu sahaja.
Ini belum dikira kos kepada tenaga dan masa rakyat yang semestinya terlibat dalam pesta demokrasi ini.
Penyelesaiannya?
Sekiranya presiden Umno jujur mengenai isu pembaziran, dia seharusnya membuat ketetapan bahawa semua negeri bawah Umno-BN–termasuk Melaka dan Johor–perlu juga membubarkan DUN serentak.
Umno-BN perlu meminta DUN Sabah dan Sarawak turut dibubarkan. Ini akan memaksa negeri yang bukan Umno-BN untuk turut serta.
Sekiranya itu tidak berlaku, kritikan "pembaziran" yang diutarakan oleh presiden Umno itu akan terasa kosong dan janggal.
Namun, isu ni boleh juga diperbetulkan dengan membuat pindaan perlembagaan, contohnya dengan mengambil Fixed-term Parliament Act 2011 (Akta Penggal Tetap Parlimen 2011) di UK sebagai rujukan.
Akta tersebut memaksa penetapan tarikh parlimen dibubarkan lima tahun berikutnya tanpa perlu "ilham" hadir ke minda perdana menteri untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong. Ini memudahkan satu negara untuk membuat persiapan pilihan raya, juga membantu rakyat merancang perjalanan pulang untuk mengundi terutamanya bagi perantau.
Bila tarikh pilihan raya penggal akan datang sudah diketahui, negeri-negeri juga mampu membuat perancangan bagi membubarkan DUN pada masa yang sama, atau pindaan kepada undang-undang tubuh negeri dibuat supaya mengikat pembubaran parlimen.
Ataupun kita terpaksa menunggu generasi akan datang, bila kesemua pemimpin duduk semeja dan berpakat untuk menyelesaikan masalah sekarang.
Seharusnya semua pemimpin negara kita ini bertindak dan melakukan sesuatu bagi mengelakkan kita mewariskan legasi yang sangat merugikan kepada generasi akan datang.
MOHD MUNSIF ialah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/a05762003e2ef519be3c416f3f35695f.jpg)
