Hanya orang bersalah perlu takut, kata Zulkipli
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Zulkifli Mat Noor berkata, beliau sanggup memberi penjelasan dan keterangan terhadap tuduhan terhadapnya.
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Zulkifli Mat Noor berkata, beliau sanggup memberi penjelasan dan keterangan terhadap tuduhan terhadapnya.
"Saya mempunyai keyakinan serta tabah untuk berhadapan masalah itu kerana saya percayakan tuhan dan hanya orang bersalah perlu takut," katanya kepada Bernama.
Zulkipli berkata beliau sedia memberi penjelasan kepada Perdana Menteri jika diarahkan berbuat demikian termasuk memberi keterangan terperinci kepada Jawatankuasa Khas Parlimen 12 Mac ini.
"Saya tidak mahu emosional mengenai perkara ini malahan saya masih menjalankan tugas seperti biasa sebagai Ketua Pengarah dan menjalankan mesyuarat harian dengan kakitangan saya," katanya sambil meminta semua pihak tidak membuat pelbagai spekulasi terhadapnya.
Dakwaan terhadap Zulkipli itu terkandung dalam satu laporan oleh bekas pegawai kanan BPR kepada Ketua Polis Negara sebelum ini, Tan Sri Bakri Omar, yang didedahkan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak).
Laporan itu dibuat oleh Mohamad Ramli Manan, yang bersara pada 8 Disember lalu, yang mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya.
Zulkipli didakwa memiliki beberapa kepentingan dalam pelbagai perniagaan dan hartanah termasuk enam buah rumah di Pagoh, Johor dan menyalahgunakan kenderaan kerajaan.
Beliau pernah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 20 tahun dan menjadi Ketua Polis Johor pada 1996 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 2000.
Beliau mula memegang jawatan Ketua Pengarah BPR pada 2001 dan perkhidmatannya disambung secara pinjaman sebanyak tiga kali.

