'Selain ABU, asalkan bukan Azmin, Zuraida juga'
Aktivis Haris Ibrahim yang pernah mempopularkan slogan ABU atau ‘Asalkan Bukan Umno' berkata slogan itu kini tidak hanya merujuk kepada Umno semata-mata.
Selain kekal dengan pendirian menolak calon Umno pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, aktivis itu turut menggesa pengundi menjauhi ahli politik yang didakwanya tidak boleh dipercayai seperti Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.
“…Saya masih dalam mode ABU kerana sesiapa yang datang dari Umno harus ditolak. Tapi kita juga akan tambah - anything but untrustworthy (Asalkan bukan yang tidak boleh dipercayai).
“Sebagai contoh, Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Saifuddin Abdullah. Tidak boleh dipercayai, jangan buang masa kita,” katanya dalam video yang tersebar di Whatsapp.
Azmin mengetuai sekumpulan bekas ahli parlimen PKR, termasuk Zuraida dan Saifuddin, yang berpaling tadah daripada parti itu sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang kira-kira dua tahun lalu.
Ketiga-tiga mereka kemudiannya menyertai Bersatu, namun Zuraida kemudian menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Mei tahun ini.
Minggu lalu, Zuraida dilantik sebagai presiden PBM.
Sementara itu, Haris berkata dia akan menyatakan pandangan mengenai PRU akan datang melalui saluran YouTube dan akaun Instagram.
“Pilihan raya umum ke-15 sudah tiba. Maklumat yang diterima hari mengundi tinggal kurang sebulan lagi.
“Jika itu benar, kita tidak mempunyai banyak masa,” tambahnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/a872b3df3a544cb4b2319e7847cf9fab.jpg)
