Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob gagal mengambil kira kebajikan rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik apabila meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan parlimen, dakwa seorang pengundi di parlimen Pandan.

Syed Iskandar Syed Jaafar berkata demikian dalam permohonan semakan kehakiman bagi menghalang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan ketika musim tengkujuh tahun ini.

Peguam itu, melalui Tetuan R Kengadharan & Co, memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur lewat petang tadi.

Syed Iskandar menamakan Ismail Sabri (dalam kapasitinya sebagai perdana menteri sementara), pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) (yang tidak dinamakan), dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Berdasarkan salinan afidavit sokongan, pengundi berusia 55 tahun itu berkata Ismail Sabri mempunyai kewajipan untuk bertindak secara munasabah demi kepentingan rakyat dan pengundi apabila menghadap Agong pada 9 Okt lalu dalam pelaksanaan kuasanya bagi meminta pembubaran parlimen.

Pembubaran parlimen diumumkan pada hari berikutnya.

Syed Iskandar mendakwa perdana menteri sementara itu menyalahgunakan kuasa apabila "gagal mengambil kira kepentingan dan kebajikan segmen masyarakat Malaysia yang miskin yang akan terjejas oleh cuaca tengkujuh di mana responden pertama pada setiap masa material menyedari sepenuhnya".

"Responden pertama telah menyalahgunakan kuasanya apabila beliau gagal bertanya pada dirinya sendiri soalan yang betul semasa menggunakan kuasa fidusiarinya untuk membuat permintaan tersebut.

"Dia gagal bertanya pada diri sendiri tentang kesan negatif terhadap penduduk-penduduk umum yang akan disebabkan oleh banjir yang bakal melanda negara ini.

Menurunnya, Ismail juga telah mengambil kira pertimbangan yang tidak relevan semasa melaksanakan kuasa fidusiarinya.

"Responden Pertama telah mengambil kira pertimbangan-pertimbangan politik dan bukannya menimbang kemudaratan dan kesulitan yang akan dialami oleh orang ramai yang mengundi dengan mengadakan pilihan raya umum pada masa ini memandangkan keadaan cuaca di beberapa negeri dan daerah di Malaysia,” ujarnya.

Syed Iskandar mendakwa antara pertimbangan yang tidak relevan tersebut melibatkan kepentingan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Pada Selasa lalu, penyandang ahli parlimen Klang, Charles Santiago memfailkan saman berasingan bagi memohon perintah mahkamah untuk menghentikan PRU15 diadakan tahun ini.