Perbuatan sabotaj atau 'cah keting' perlu dihentikan bagi memastikan kemenangan BN pada PRU15 untuk membentuk kerajaan yang stabil, tegas perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob.

Dia yang juga naib presiden Umno berkata ahli parti seharusnya meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan kerana ‘siapa juga yang dipilih sebagai calon pada pilihan raya membawa bendera parti’, bukannya bertanding atas kapasiti individu dan kemenangan mereka adalah untuk BN.

"Dalam pilihan raya semua hendak bertanding dan ramai yang layak untuk menjadi calon…Nak berangan sedikit mahu menjadi calon okeylah, tapi jangan sebab kita hendak bertanding, kita sabotaj kawan yang bertanding, bergerak ke hulu ke hilir untuk pastikan kawan kita kalah.

"Jangan fikir tentang kita sahaja. Kita seronok dua, tiga hari sahaja kerana kawan kalah, tetapi akhinya yang menderita ialah rakyat. Bayangkan perasaan ahli yang masuk parti daripada usia muda, tidak tidur malam bekerja untuk parti, (sudah pasti kecewa) apabila melihat pimpinan sendiri yang sabotaj sesama sendiri," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini.

Ismail Sabri turut menegaskan keputusan PRU14 yang menyaksikan BN gagal membentuk kerajaan di persekutuan, perlu dijadikan pengajaran untuk menguatkan kesepakatan supaya BN menang besar kali ini, untuk mengelak ketidakstabilan politik sehingga menyebabkan pertukaran kepimpinan negara beberapa kali sejak 2018.

"Pilihan raya kali ini berbeza. Dulu, Umno dan BN masuk pilihan raya dengan jangkaan mesti menang dan mesti boleh membentuk kerajaan di Putrajaya. Namun, selepas PRU14, jaminan 100 peratus ini tidak boleh lagi diberikan, tidak boleh lagi ambil mudah dan kita kena kerja keras untuk memastikan kemenangan BN," katanya.

Ismail Sabri yang juga ketua Umno Bera turut mengimbau selepas keputusan PRU14 diumumkan, yang menurutnya walaupun berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bera dengan majoriti 2,311 undi, kemenangan itu tidak sama apabila mengetahui ramai rakan dalam parti tewas.

"Biasa selepas keputusan pilihan raya, kita di Bera akan berjamu...kawan-kawan dari MIC bawa bunga malai. Tetapi malam itu, di Bera kita senyap sahaja dan terus saya beritahu tak perlu bawa bunga kerana walaupun Bera menang, ia tidak bermakna.

"Jangan lupa dan jangan ambil mudah. Pengalaman pada PRU14 kena dijadikan pengajaran. Kali ini, kita kena bekerja lebih keras kerana Parlimen Bera sudah berbeza. Semua mata melihat ke sini kerana di sini parlimen perdana menteri," katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri mengingatkan jentera Umno, MCA dan MIC untuk bekerja sebagai satu keluarga untuk mengekalkan kemenangan besar BN di Parlimen Bera dan DUN Guai dan Kemayan, selain merampas semula DUN Triang daripada PH.

Katanya lagi, gerak kerja itu juga harus bermula seawal mungkin memandangkan pilihan raya umum sudah terlalu hampir selepas dia mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

-Bernama