Dr M: Penyertaan Iman mampu bantu GTA menang dalam PRU15
Dr Mahathir Mohamad yakin penyertaan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dalam Gerakan Tanah Air (GTA) mampu membantu gabungan parti politik itu menang dalam PRU15.
Pengerusi Penaja GTA itu berkata keyakinan tersebut berpaksikan kepada jumlah keahlian Iman yang ramai di seluruh negara, serta keinginan komuniti India Muslim untuk memastikan suara mereka didengari di peringkat kerajaan.
“Kita tahu pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Iman ini tidak terlibat secara langsung dalam politik, cuma harapan mereka ialah perjuangan dan suara mereka akan diterima oleh mana-mana kerajaan yang memerintah negara.
“Jadi saya yakin komuniti India Muslim akan memainkan peranan yang besar dalam PRU15,” kata bekas perdana menteri itu pada program majlis makan malam di Kuala Lumpur malam tadi.
Turut hadir majlis itu ialah Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, Presiden Iman Mohammed Mosin Abdul Razak, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali dan Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Zamani Ibrahim.
GTA yang ditubuh pada 4 Ogos dan diketuai oleh Pejuang telah menyatakan pendirian sebelum ini akan meletakkan 120 calon di seluruh negara pada pilihan raya itu dengan lebih 30 peratus adalah calon muda.
Kesemua calon juga akan bertanding di atas tiket Pejuang memandangkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) belum lagi meluluskan permohonan pendaftaran gerakan itu.
-Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/d3a7885c890d61db82081a6d3bcc5b3b.jpg)
