PAS mencadangkan agar bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kawasan Parlimen Kota Bharu dalam pilihanraya umum akan datang.

Ini kerana penasihat PKR itu mempunyai pengaruh yang sangat kuat di Kelantan, Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Di samping itu, Abdul Rahim yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, ia juga merupakan satu penghargaan kepada penduduk negeri itu jika Anwar dapat bertanding di Kota Bharu.

"Tapi dengan syarat Anwar mestilah telah dibenarkan untuk bertanding pada pilihanraya, iaitu jika diadakan selepas April tahun depan," katanya.

Menurut Bernama, beliau memberitahu pemberita demikian selepas majlis perasmian mesyuarat agung PAS cawangan Sungai Keladi di Kota Bharu hari ini, yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk, Abdul Halim Abdul Rahman.

Wan Abdul Rahim berkata kerusi Parlimen Kota Baharu sememangnya sudah diperuntukkan untuk sekian lama kepada Keadilan (sejak sebelum ia bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia menjadi PKR).

Dalam pilihanraya umum yang lalu, kerusi Parlimen Kota Baharu dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid menewaskan calon Keadilan, Nik Mahmood Nik Hassan yang juga Pengerusi Keadilan Kelantan.