Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil langkah segera menghalang sebarang campurtangan eksekutif dan politik dalam pelantikan jawatan utama jabatan kerajaan.

Ketua DPP, Salahuddin Ayub berkata, pelantikan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Ketua Polis Negara (KPN) perlu dibuat dengan penilaian Parlimen.

"Bagi Pemuda PAS, Parlimen perlu diberi hak untuk menilai pelantikan Ketua Pengarah BPR, Pengerusi SPR dan KPN.

"Saya tidak tahu bagaimana Perdana Menteri boleh melantik Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor sedangkan dakwaan terhadapnya dibuat sejak beliau menjadi Ketua Polis Johor lagi.

"Adakah Datuk Seri Abdullah tidak sedar, terlepas pandang atau tutup sebelah mata dalam kes perlantikan Ketua Pengarah BPR itu," katanya dalam sidang media di ibupejabat baru PAS di Jalan Raja Laut, ibu negara hari ini.

Salahuddin berkata, berikutan pertiwa itu integriti BPR mula dipandang serong oleh masyarakat dan kerana itu kewibawaannya perlu dikembalikan.

Katanya, untuk mengembalikan kewibawaan BPR, kuasa pendakwaan perlu dikembalikan kepada badan itu, selain melantik Ketua Pengarah yang yang berwibawa dan mempunyai rekod yang baik.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Perdana Menteri perlu menunjukkan ketegasan dengan membenarkan jabatan kerajaan melaksanakan Pelan Integrasi Nasional (PIN) yang diperkenalkannya dua tahun lalu.

Kematian pelatih PLKN

"Hasrat Datuk Seri Abdullah untuk mewujudkan ketelusan dalam pemerintahan melalui penubuhan PIN, tidak memberi sebarang makna jika jabatan kerajaan negeri tidak diberi peluang menjalankan tanggungjawabnya," katanya.

Dalam sidang media tersebut, Salahuddin juga mengulas mengenai kematian demi kematian yang berlaku kepada pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Mangsa terbaru ialah Prema Elenchelian yang meninggal dunia kerana dilaporkan terjatuh sewaktu menjalani latihan di Kem Hutan Lipur Jeram Linang, Kelantan Rabu lalu.Januari lalu dua pelatih PLKN, Teng Siau Shen, 18, yang mengikuti program di Kem PDS Pasir Panjang, Port Dickson meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dan Ili Ameera Azlan pula meninggal dunia kerana masalah makanan ketika mengikuti latihan di Ayeh Keroh Melaka.

Salahuddin mendakwa, berikutan kejadian yang tidak diingini seperti kematian, jenayah, pergaduhan dan rogol semakin kerap berlaku, dan kerajaan perlu mengggantung sementara program itu sehingga kajian dijalankan untuk mengenalpasti puncanya.

"Saya bimbang Kementerian Pertahanan telah hilang fokus mengenai PLKN menyebabkan kejadian demi kejadian tidak diingin berlaku dalam kem latihan," katanya.

Menurutnya, kegiatan jenayah, pergaduhan dan rogol boleh berlaku di mana-mana tetapi apabila ia terjadi di dalam kem PLKN, maka ia merupakan sesuatu yang amat menyedihkan.

Salahuddin berkata, DPPP mendapat tahu ramai ibu bapa merasa bimbang untuk menghantar anak mereka menyertai PLKN kerana tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku terhadap mereka.