Rosnah rayu RTM ringankan hukuman penggantungannya
Pelakon Rosnah Mat Aris merayu kepada RTM agar meringankan hukuman menggantungnya daripada muncul dalam mana-mana program atau rancangan siaran televisyen dan radio badan penyiaran itu selama setahun.
Pelakon Rosnah Mat Aris merayu kepada RTM agar meringankan hukuman menggantungnya daripada muncul dalam mana-mana program atau rancangan siaran televisyen dan radio badan penyiaran itu selama setahun.
Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata penggantungan selama setahun kemunculan Rosnah di RTM itu, berkuatkuasa serta merta.
Ia ekoran kenyataan Rosnah mengenai status usia isteri Rasulullah, Siti Khadijah sewaktu menjadi ahli penal dalam rancangan 'Sensasi' di TV3 baru-baru ini, yang dianggap mencela anggota keluarga Nabi Muhammad s.a.w.
"Sebenarnya perkataan sensitif yang saya sebut itu merujuk kepada diri saya, bukan Siti Khadijah," katanya kepada Bernama.
Sambil merayu supaya hukuman itu diringankan, Rosnah berkata: "Jika orang buat salah kena `gam', minta maaf pun kena `gam', nanti tiada siapa yang akan minta maaf kerana melakukan kesalahan.
'Ibu tunggal'
"Kak Ros dah minta maaf banyak kali sejak berhari-hari lalu, Kak Ros dah bertaubat dengan Tuhan, apa lagi yang Kak Ros boleh buat. Kasihanilah Kak Ros sebagai ibu tunggal yang ada anak-anak dan tangggungan," katanya.
Rosnah berkata, dalam mengambil langkah penggantungan, RTM perlu memikirkan nasib penerbit drama yang telah mengambil beliau berlakon tetapi menanti giliran tayangan di RTM.
Sehubungan itu, beliau merayu agar penggantungan itu tidak melibatkan lakonan beliau dalam drama sebelum larangan itu berkuatkuasa.
"Macam-macam perasaan saya ketika ini... kesal, sedih, marah, terkilan sebab RTM tidak beritahu saya. Mereka sepatutnya menghubungi saya untuk maklumkan saya kena `gam' sebaliknya saya dapat tahu melalui panggilan telefon wartawan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Zainuddin berkata keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Khas Jabatan Penyiaran semalam setelah menonton rakaman rancangan terbitan sebuah stesen penyiaran swasta, `Sensasi' serta membincangkan dengan panjang lebar mengenai kata-kata yang diluahkan oleh pelakon itu dalam rancangan tersebut.

