Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata laporan mengenai kematian beberapa orang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) terlalu diperbesar-besarkan, sedangkan bilangan kematian dalam program itu adalah kecil berbanding dengan keadaan kematian biasa.

"Kita memang amat simpati dengan kematian itu, tetapi kami berpendapat laporan itu tidak perlu dibesar-besarkan.

"Dari 2004 hingga 2007, kira-kira 240,000 pelatih KN telah menjalani kursus mereka dengan hanya lapan kematian.

"Dengan lain perkataan, dengan populasi 240,000, kadar kematian sebenarnya jauh lebih kecil dari populasi umum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa

pusat MCA di Kuala Lumpur semalam.

Menurut laporan Bernama Chua berkata dalam keadaan biasa, kadar mortaliti seseorang dalam usia 17 dan 18 tahun di negara ini ialah satu dalam setiap 1,000 orang.

12 kematian

Prema Elenchelian, 18, adalah pelatih terbaru yang dilaporkan mati semasa menjalani latihan di Pasir Putih, Kelantan Rabu lalu.

Beliau ditemui mati selepas terjatuh dalam bilik mandi kem Kisana Beach Resort.

Kematian Prema menjadikan sejumlah 12 pelatih mati sejak program itu dimulakan pada 2004.

Bagaimanapun, enam daripada kematian itu berlaku di luar kem semasa pelatih bercuti atau pulang sebentar ke rumah.