Musa nasihat Ramli kerjasama tampil beri maklumat
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata tindakan bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah, Mohamad Ramli Manan membuat kenyataan terbuka mengenai dakwaan rasuah dan salahguna kuasa terhadap Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor kepada pihak media adalah kurang tepat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata tindakan bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah, Mohamad Ramli Manan membuat kenyataan terbuka mengenai dakwaan rasuah dan salahguna kuasa terhadap Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor kepada pihak media adalah kurang tepat.
"Saya sedang meneliti kes ini secara terperinci...luar dan dalam. Adalah tidak wajar sekiranya 'gangguan' seumpama ini mengganggu kerja polis.
"Kami sedang melakukan segala yang termampu secara adil," katanya ketika dihubungi Bernama sambil menasihatkan Ramli supaya bekerjasama dengan polis dan tampil ke hadapan jika ada maklumat mengenai kes tersebut.
"Saya tidak mengatakan tindakannya salah, beliau bebas untuk menyuarakannya...tetapi tindakannya tidak tepat.
Bernama melaporkan media hari ini melaporkan bahawa bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah itu mendakwa, selain Zulkipli, beliau juga pernah membuat laporan kes rasuah dan salahguna kuasa terhadap beberapa pegawai kanan agensi tersebut.
Mohamad Ramli, 56, yang bersara pada 8 Disember lalu menegaskan laporan terhadap Zulkipli dibuat mengikut Seksyen 107 Kanun Prosedur Jenayah pada Julai 2006 yang membolehkan polis membuka kertas siasatan.
Media diminta berhati-hati
Mengenai laporan beliau terhadap beberapa pegawai kanan badan itu yang turut didakwa terlibat dalam kes rasuah dan salahguna kuasa, Mohamad Ramli berkata laporan dibuat di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 antara tahun 2003 dan 2004.
Musa juga berharap pihak media akan lebih berhati-hati menyiarkan berita mengenai kes ini dan beliau berharap kandungan berita kes ini dalam akhbar tidak mensensasikan kes berkenaan.
"Sepertimana yang saya beritahu, kes ini tidak boleh dipandang mudah dan setiap keterangan yang diambil amat penting dalam menentukan keputusan penyiasatan kes. Media, tolonglah mainkan peranan anda secara bijaksana.
"Memandangkan kes ini perlu dikaji dari pelbagai sudut, saya mewakili polis berharap semua pihak terbabit bersabar sehingga ia selesai," katanya.
Isu mengenai dakwaan terhadap Zulkipli didedahkan oleh Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) dan telah mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia serta Pejabat Peguam Negara.
Menurut laporan tersebut, Ramli telah menulis surat kepada bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamed Bakri Omar tahun lalu mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya.

