Zahid: Yakini pilih BN, gabungan lain tiada hala tuju
Ketika gendang perang semakin kuat dipalu menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menggesa rakyat supaya mengundi gabungan itu demi masa depan negara.
Dakwanya, BN mempunyai rekod pencapaian negara selama beberapa dekad, manakala gabungan politik lain masih berdepan ketidaktentuan dalam hala tuju mereka
“Pernah membentuk Pakatan Rakyat (PR) kemudian berpecah dan menubuhkan Pakatan Harapan (PH).
“Berpecah-belah lagi angkara persengketaan kuasa lalu terbentuk pula Perikatan Nasional (PN).
“ Sebahagian yang lain menubuhkan parti serpihan baharu maka terwujudnya Gerakan Tanah Air (GTA),” kata presiden Umno itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dia berkata, BN sebagai sebuah gabungan politik mungkin tidak terlihat sempurna oleh sebilangan pihak, namun mereka tidak pernah terhenti berusaha untuk menggapai kesempurnaan.
“Ia suatu proses berterusan tanpa titik noktah memastikan BN kekal relevan, progresif kini dan selamanya.
“Sejarah selepas 9 Mei 2018 malah menyaksikan BN masih pilihan terbaik rakyat untuk mengemudi negara.

“BN yang membawa wadah perpaduan kaum, keharmonian beragama, kemakmuran ekonomi, kebajikan rakyat,” katanya.
Sebaliknya, Zahid berkata parti-parti lain itu sehingga hari ini masih tiada hala tuju yang jelas untuk kepentingan rakyat dan negara.
“Satu-satunya yang hadir bersama mereka adalah faedah politik, kuasa, kroni, jawatan dan kedudukan.

“(Perjuangan mereka) Bersendikan fitnah, pembohongan, manipulasi, putar belit, janji palsu dan 'manifesto bukan kitab suci,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Menurutnya, BN selepas PRU14 berusaha mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di bumi Malaysia walaupun ia bukanlah suatu tugas yang mudah kerana berdepan pelbagai halangan, rintangan dan cabaran.
“Bagaimanapun berkat keyakinan, dokongan serta kesepakatan rakyat bersama kita mampu menjayakannya.
“Kita pernah melakukannya pada PRN Melaka dan Johor, Insya-Allah kita mampu mengulanginya untuk PRU-15.

“Bersama sepakat sehati sejiwa meyakini memilih BN. Kestabilan dan kemakmuran menjamin masa depan Malaysia,” katanya.
Suruhanajaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mentetapkan hari pengundian pada Sabtu, 19 November manakala hari penamaan calon pada 5 November.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/f6522c65ce938e053a00d559a62e22af.jpg)
