Pemimpin MCA yang dikatakan bakal calon di Kulai Chua Jian Boon menuduh pesaing politiknya menggunakan laskar siber untuk menyerangnya selepas gambarnya bercakap melalui dua telefon sekaligus menjadi tular malam tadi.

Chua mendakwa serangan semalam didalangi oleh sebuah parti politik yang “sudah dua penggal sepuluh tahun dalam Kulai ini" - rujukan jelas terhadap DAP.

"Sebelah sana tidak sabar nak serang Chua. Berani kerana benar, ini taktik yang biasa digunakan untuk mereka menang PRU.

"Sudah dua penggal sepuluh tahun dalam Kulai ini. Apa lagi nak keluar supaya boleh menipu warga Kulai?

"Gunakan cybertroopers? Atau orang yang pakai gambar profil PH dan letak bukan-bukan," katanya pada hantaran di Facebook.

Walaupun Chua tidak menamakan pihak yang dimaksudkannya itu, DAP telah memegang Kulai sejak 2013 selepas penyandang parlimen itu Teo Nie Ching memenangi kerusi tersebut daripada bekas presiden MCA Ong Ka Ting.

Pada satu hantaran 5 Sept lalu, Chua memuat naik gambar dia bermesra dengan pengunjung di sebuah kopitiam di Kulai.

Salah satu gambar menunjukkan pemimpin MCA itu "menjawab" dua panggilan telefon secara serentak.

Sebahagian daripada catatan dalam bahasa Cina berbunyi: "Ini kedai kopi paling sibuk (di Kulai), tempat yang bagus untuk mendengar suara rakyat dan berbincang dengan mereka.

"(Walaupun terdapat) terlalu banyak panggilan untuk dijawab, Chua akan menjawab semuanya."

Pegawai khas kepada Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi itu dipersoal kerana 'bertindak berlebihan' dalam gambar itu, dengan beberapa orang menyatakan bahawa Chua memegang salah satu telefon dengan cara yang salah.

Pada catatannya di media sosial, Chua menggesa pengundi untuk menolak ahli politik yang tidak berubah "selama sedekad."

"Saya sedar banyak lagi yang akan datang, tak apa, nanti waktu PRU kita lawan habis-habisan," katanya.

[Baca berita asal]