VoteMalaysia kutip sumbangan untuk bawa pulang undi pos
Kumpulan belia dan gerakan pelajar Malaysia di seluruh dunia kini kesuntukan waktu bagi membantu rakyat Malaysia di luar negara mendaftar sebagai pengundi pos menjelang Pilihan raya umum (PRU15) pada 19 Nov depan.
Ini susulan permohonan undi pos dalam dan luar negara yang dibuka sejak 10 Okt lalu, akan ditutup dalam tempoh dua hari iaitu pada 23 Okt ini.
Gabungan VoteMalaysia dengan kerjasama Undi18 menyasarkan untuk membawa pulang 50,000 undi pos dari pelbagai negara.
Ketua Malaysian Students' Global Alliance (MSGA), Jonathan Lee berkata, pihaknya berasa perlu berbuat demikian susulan kegagalan sistem undi pos pada PRU14 pada 2018 dan pilihan raya negeri (PRN) Johor yang diadakan awal tahun ini.
“Kami melihat kelemahan besar dalam proses undi pos, khususnya dalam PRU14 dan pilihan raya negeri Johor. Oleh itu, kami mahu memudahkan pengundian pos pada skala global untuk PRU15 bagi memastikan seramai mungkin rakyat Malaysia di luar negara boleh mengambil bahagian dalam proses demokrasi ini dengan mengundi.
“Salah satu masalah yang berlaku setiap kali semasa pengundian pos ialah kurangnya kesedaran tentang tarikh dan prosedur. Oleh itu, kami telah secara agresif mengeluarkan maklumat grafik pada platform yang berbeza, seperti Instagram, Facebook dan Telegram, untuk memaklumkan rakyat Malaysia tentang langkah yang boleh mereka ambil untuk memohon sebagai pengundi pos.
Menurutnya, satu lagi cabaran yang dihadapi ialah undi pos selalunya lewat sampai kepada pengundi dan menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak masa untuk mengisi borang mengundi dan mengembalikan borang itu semula.
"Oleh itu, VoteMalaysia dengan kerjasama pertubuhan perwakilan pelajar di negara yang berbeza di seluruh dunia merangka tindakan logistik untuk membawa balik undi pos dari negara mereka,” katanya kepada Malaysiakini.
Pada PRU14 lalu, rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara menghadapi kesukaran untuk menerima dan memulangkan kertas undi tepat pada masanya kerana tempoh berkempen yang ditetapkan selama 11 hari.
Ini juga menjadi isu semasa pilihan raya negeri Johor sebelum ini di mana sebahagian pengundi menerima undi mereka hanya selepas hari pengundian dan sebahagian
lagi tidak menerima undi mereka langsung.
Ada juga pengundi yang berdepan masalah teknikal di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila memohon undi pos atau menerima kertas undi yang dicemari.
Pada masa sama, Lee berkata VoteMalaysia juga sedang giat mengumpul dana bagi membolehkan kertas undi dikumpul terlebih dahulu sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Lee berkata, setakat semalam pihaknya telah berjaya mengumpulkan kira-kira RM12,000.
Katanya, angka 50,000 undi itu diperoleh selepas mempertimbangkan penyertaan pengundi pos di negara terbabit, berdasarkan pilihan raya umum atau pilihan raya negeri sebelum ini.
“Perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh VoteMalaysia, di pihak kami, adalah jelas dan telus dalam mengendalikan dana kami.
“Ini (inisiatif) sebahagian besarnya adalah antara gabungan dan pertubuhan perwakilan pelajar di setiap negara. Jumlah yang diminta oleh setiap organisasi akan dipertimbangkan dengan teliti dan dana akan diserahkan terus kepada mereka. Semua urus niaga akan diaudit,” tambah Lee.
Negara yang terlibat dalam program ini ialah Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Turkiye, Jepun, Jerman, Mesir, Singapura, Qatar, Indonesia dan China.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis menetapkan Sabtu 19 Nov sebagai hari mengundi bagi PRU15.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 Nov 2022.
Sumbangan boleh dibuat melalui https://www.givinghub.asia/campaigns/undi18empower
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/5489aaa2d919d6f2bd7f6e5bf046af64.jpg)
