Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata apa yang dapat dipelajari daripada apa yang sedang berlaku sekarang ialah rakyat termasuk penjawat awam sendiri mahukan sebuah pentadbiran dan pemerintahan yang baik, bermutu dan bebas daripada gejala rasuah.

"Dengan itu adalah menjadi satu kewajipan bagi kita untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab kita dengan ikhlas dan baik. Itulah yang akan menjadikan negara kita maju dan berjaya," katanya.

Menurut laporan Bernama, Abdullah merujuk kepada laporan media berhubung dakwaan rasuah dan salahguna kuasa terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah Datuk Zulkipli Mat Noor.

Terbaru, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharom menafikan dakwaan beliau menerima sogokan RM5 juta untuk membebaskan tiga penjenayah yang sebelum itu ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang tidak melakukan rasuah tidak perlu risau tetapi memberi jaminan bahawa mereka yang melakunya akan berdepan dengan tindakan.

Yang penting, katanya. ialah segala siasatan berhubung dakwaan rasuah itu mesti dijalankan seadil-adilnya.

"Memanglah rasuah tidak diingini oleh sesiapapun. Tindakan perlu diambil. Yang tak salah tak perlu gundah," katanya di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

85 peratus tidak berasas

Menurut Abdullah, secara amnya, 85 peratus daripada laporan yang dikemukakan berkaitan tuduhan rasuah adalah tidak berasas.

"Walaupun begitu, tindakan yang kita akan ambil bukanlah atas persepsi tetapi atas maklumat. Ini amat penting. Kita sentiasa berhati-hati dalam perkara ini," katanya.

Sebab itulah, tegasnya, setiap pelantikan pegawai ke jawatan tinggi kerajaan didahului dengan laporan mengenai pegawai itu daripada pihak berkenaan.

"Jika didapati rekodnya baik, maka barulah pelantikan itu dibuat. Ini adalah amalan kita," kata Abdullah sambil menambah langkah sama dibuat dalam pemilihan calon yang bertanding mewakili Barisan Nasional dalam pilihanraya.