Polis mahu mendapatkan bantuan penulis blog yang memuatkan maklumat di Internet yang didakwa Timbalan Menteri Datuk Mohd Johari Baharum menerima wang rasuah RM5.5 juta kerana membantu membebaskan suspek penjenayah yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Polis mahu mendapatkan maklumat bagaimana penulis blog itu memperolehi maklumat mengenai dakwaan tersebut dan polis akan bersikap adil dalam perkara itu, kata Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Musa Hassan.

"Jika mereka boleh memberikan kami maklumat penting, ia akan membantu siasatan kami. Kami mengalu-alukan penulis blog ini untuk tampil ke depan membantu melicinkan siasatan," katanya kepada Bernama semalam.

Kelmarin, Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Mohd Shukri Abdul dilaporkan berkata BPR telah memulakan siasatan terhadap seorang anggota politik kanan yang didakwa menerima rasuah lebih RM5 juta kerana membantu membebaskan beberapa suspek yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Musa berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang ulasan mengenai kes itu ketika ini kerana sisatan baru sahaja bermula.

Zulkipli akan disiasat

Menurutnya, polis dimaklumkan terdapat sekurang-kurangnya dua lamanmeb yang membuat dakwaan itu serta butiran mengenai anggota politik yang terlibat.

"Namun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan tugas kami ialah untuk mencari kebenaran. Tiada apa-apa yang benar tanpa bukti," katanya sambil menambah polis sedia membantu BPR dalam siasatan kes itu.

Dalam perkembangan lain Musa berkata ketua pengarah BPR Datuk Seri Zulkipli Mat Noor akan disoal siasat tidak lama lagi membabitkan dakwaan rasuah terhadapnya.

Katanya, Zulkipli sudah diminta bersedia untuk disiasat oleh pasukan petugas khas, dan beliau juga bersetuju untuk membantu siasatan polis.

Bekas pengarah BPR Sabah Mohamad Ramli Manan mendakwa Zulkipli terlibat dalam amalan rasuah serta menyalahguna kuasa.