Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada bahagian supaya memilih pemimpin tertentu untuk bertanding dalam kongres nasional di Seremban Mei ini.

Jurucakap ibupejabat PKR berkata, ibupejabat parti, khususnya Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) dan Biro Politik PKR, hanya memantau dan menerima laporan selepas mesyuarat bahagian selesai diadakan.

Katanya, PKR negeri akan menghantar beberapa pemerhati untuk memantau perjalanan dan proses sesebuah bahagian mengadakan mesyuarat.

"Bahagian PKR di seluruh negara boleh membuat aduan kepada ibupejabat parti jika mereka mendapat arahan supaya mencalonkan pemimpin tertentu dalam mesyuarat bahagian masing-masing.

"Ini bermakna bahagian mempunyai kuasa untuk mencalonkan sesiapa sahaja untuk bertanding sebarang jawatan dalam kongres nasional kelak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ketua PKR bahagian Merbok, Zamil Ibrahim bahawa ada pemimpin tertentu yang meminta bahagian mencalonkan individu tertentu.

Zamil merujuk kepada keputusan PKR Selangor yang bersepakat untuk mencalonkan penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden dan Dr Syed Husin Ali sebagai timbalan presiden.

Zamil juga mendakwa badan perhubungan PKR Pulau Pinang pula, meminta bahagian-bahagian di negeri itu mencalonkan Anwar untuk jawatan presiden dan Naib Presiden sekarang, Azmin Ali, untuk jawatan timbalan presiden.

Elak perpecahan

Jurucakap itu berkata, tindakan PKR Selangor dan Pulau Pinang itu mungkin kerana mereka tidak mahu parti berpecah akibat pemilihan jawatan tinggi dalam kongres nasional nanti.

Beliau juga membidas sikap sesetengah pemimpin yang hanya menampakkan muka ketika musim mesyuarat peringkat bahagian berlangsung, sedangkan sebelum ini tidak pernah nampak muka.

Beliau berkata, pemimpin ini tidak mucul ketika parti mengadakan program rasmi ataupun bertemu rakyat di kawasan mereka.

"Mereka aktif ketika musim pemilihan parti sahaja, jadi orang nampak PKR hanya bergerak pada musim tertentu dan imej ini tidak baik kepada parti secara keseluruhannya," katanya.

Menurutnya, pemimpin PKR perlu konsisten sepanjang masa dan bukannya hanya aktif ketika musim pemilihan peringkat bahagian sahaja.