PN tak pinggir masyarakat India jika menang PRU - Azmin
Perikatan Nasional (PN) tidak akan meminggirkan usaha memperkasakan masyarakat India jika gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali.
Azmin berkata bahawa PN tidak akan melupakan pengorbanan masyarakat India yang banyak berjasa dalam arus pembangunan negara.
"Kaum India telah menyumbangkan banyak bagi pembangunan negara kita dari aspek sosioekonomi, pendidikan dan membawa kemakmuran kepada negara Malaysia yang kita cintai.
"PN komited terhadap kebajikan masyarakat india bagi memastikan mereka membangun bersama sejajarkan dengan dasar kemakmuran bersama.
“Saya memberi komitmen yang masyarakat India tidak akan terpinggir di bawah pimpinan Perikatan Nasional," katanya dalam ucapan Perayaan Deepavali selepas menghadiri jelajah sumbangan Deepavali di parlimen Gombak.

Tambahnya, dia berharap masyarakat India di Gombak dan seluruh Malaysia terus menyokong PN bagi meneruskan aspirasi kemakmuran bersama dengan moto 'Melangkah Pasti, Bersatu Berbakti'.
Terdahulu, penyandang kerusi parlimen Gombak selama tiga penggal itu berkata bahawa hampir RM1 juta dibelanjakan bagi masyarakat India di Gombak bagi tahun 2022.
Azmin sebelum ini telah memberi bayangan akan mempertahankan kerusi parlimen itu pada PRU akan datang.
Ia selepas Azmin berkata bersedia menentang bekas bosnya yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim bagi mempertahankan kerusi Gombak pada PRU ke-15 akan datang.
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata dia juga sanggup menentang isteri dan anak Anwar.
Pada 2018, Azmin mengalahkan calon BN Abdul Rahim Pandak Kamaruddin dan calon PAS Khairil Nizam Khirudin dengan majoriti 48, 721 undi.
Bagi parlimen itu, pengundi Melayu terdiri 77 peratus diikuti Cina dan India masing-masing 11 peratus dan lain-lain 1 peratus.

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/267b46f7eb56f6c22e94d93bc2166923.jpg)
