AJK sayap bersekutu Bersatu dakwa kurang calon India dari PN di S’gor
Ahli jawatankuasa sayap bersekutu Bersatu Vasantha Kumar membidas gabungan Perikatan Nasional (PN) dengan mengatakan bahawa terdapat kemungkinan besar tidak akan ada kerusi parlimen di Selangor yang ditandingi calon India dari gabungan itu.
“Perebutan kerusi antara parti-parti komponen Selangor semakin hangat dan tidak dapat diputuskan dalam perbincangan pengagihan kerusi.
“Kerusi-kerusi untuk calon India kini menjadi tanda tanya. Gerakan dianggarkan akan mendapat tiga hingga empat kerusi dan kesemuanya meletakkan calon dari kaum Cina,” dakwa Vasantha, yang merupakan salah seorang daripada lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Katanya, daripada 22 kerusi parlimen di Selangor, Pakatan Harapan (PH) meletakkan empat calon India iaitu di Puchong (Gobind Singh Deo), Klang (Charles Santiago), Sungai Buloh (R Sivarasa) dan Kuala Langat (Dr Xavier Jayakumar).
BN juga mempunyai kuota yang sama, dengan meletakkan calon di Kapar, Kota Raja, Sungai Buloh dan Hulu Selangor.
Vasantha mendakwa pada PRU15, PH dan BN akan mempunyai peruntukan kerusi yang sama tetapi PN telah mengenepikan kaum India.
“Selangor merupakan negeri yang mempunyai komposisi pengundi India paling ramai sebanyak 25 peratus. Pengundi India melebihi 10 peratus di 15 kerusi parlimen dan undi ini ketara untuk menentukan kemenangan.
“Pengundi India telah mula berubah dari BN ke PH bermula PRU12 dan sehingga hari ini mereka sedang meneliti penglibatan aktif para politik India di kalangan parti-parti politik.
“PN belum dapat menentukan kerusi-kerusi calon India,” katanya.
Dia turut menyentuh kerusi ahli parlimen Kuala Langat yang menurutnya salah satu kawasan di mana kaum India diabaikan oleh PN.
“Sehingga bulan lalu, kerusi ini dikhaskan sebagai kerusi India tetapi kini lain pula ceritanya. Tamak kuasa politik sesetengah individu dan parti politik akan mengundang kekalahan namun peluang adalah cerah untuk kemenangan.
“Saya telah berkhidmat sejak tiga tahun lalu setelah mendapat arahan pimpinan. Pusat Khidmat Komuniti beroperasi sejak dua tahun. Banyak tenaga dan wang ringgit telah dibelanjakan untuk mengangkat PN tetapi kini ada pula cubaan mencabuli kerusi,” dakwanya.
Xavier memenangi kerusi parlimen Kuala Langat atas tiket PKR pada 2018, menewaskan calon Umno dan PAS dengan majoriti 17,112 undi.
Dia akhirnya berpaling tadah untuk menyokong gabungan PN dan awal bulan ini mengumumkan dirinya sebahagian daripada ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) pimpinan Zuraida Kamaruddin.
“Komposisi pengundi Melayu 56 peratus, India 18 peratus, Cina 24 peratus, lain-lain dua peratus. Pengundi bukan Melayu khususnya India adalah penentu kemenangan.
“PN Selangor perlu berhati-hati dalam pembahagian kerusi sewajarnya untuk semua kaum,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/337587832edaaafa01d6698e9cf52baf.jpg)
