DAP letak lapan calon di Sarawak
PRU15 | DAP Sarawak akan meletakkan lapan calonnya untuk pilihan raya parlimen bulan depan dan jumlah itu berkurangan seorang berbanding sebelum ini.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen malam tadi mengumumkan, tiga penyandang kerusi parti itu akan dikekalkan iaitu bagi Stampin, Mas Gading dan Bandar Kuching.
Ketiga-tiga mereka ialah Chong sendiri, Mordi Bihol, dan Kelvin Yii.
Selain tiga kerusi berkenaan, DAP turut meletakkan calon bagi kerusi Sibu, Lanang, Sarikei, Serian dan Bintulu.
“Untuk kerusi Serian, DAP mempertaruhkan muka baharu, Laerry Jabol,” kata Chong pada sidang media di Kuching yang dipetik Bernama.
Dalam PRU ke-14 pada 2018, DAP turut meletakkan calon di Kapit. Bagaimanapun, DAP tidak bernasib baik di situ apabila penyandang kerusi berkenaan, Alexander Nanta Linggi menang besar.
Alexander merupakan setiausaha agung Parti Pesaka Bumiputera (PBB) yang memenangi kerusi Kapit sebanyak lima kali.
Dua daripadanya dicapai melalui kemenangan tanpa bertanding iaitu pada 2004 dan 2008.
Kali ini, kerusi Kapit diberikan kepada PKR iaitu satu lagi parti komponen Pakatan Harapan.
Sebelum ini, Chong memberitahu PKR telah menyatakan bahawa mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang di Kapit.
Tambahnya, akar umbi DAP Kapit juga berikrar untuk membantu sekutu mereka itu cuba menguasai kerusi Kapit.
Sementara itu, Yii menggesa pengundi melihat DAP Sarawak sebagai "parti nasional tempatan" dan bukannya "parti Malaya".
Katanya DAP Sarawak menikmati kuasa autonomi dan boleh membuat banyak keputusan sendiri yang akan memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.
“Kita semua rakyat Sarawak dan kita akan berjuang untuk apa yang terbaik untuk Sarawak,” kata Yii yang dipetik Borneo Post.
Bagi Mordi pula, dia menggesa pengundi Sarawak memastikan ahli parlimen DAP dipilih bagi memastikan terdapat mekanisme semak dan imbang yang lebih baik.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/12/ba173a3db6d6138702a90e756ed41960.jpg)
