Sayap Bersekutu Bersatu menafikan dakwaan bahawa kemungkinan besar tidak akan ada kerusi parlimen di Selangor yang ditandingi calon India dari Perikatan Nasional (PN).

Ketua penerangannya S Subramaniam berkata kenyataan pemimpin Hidraf, K Vasantha Kumar itu tidak tepat dan mempunyai agenda tersendiri.

"Tidak tepat PN tidak mengagihkan kerusi parlimen kepada calon India. Kenyataan Vasantha Kumar mempunyai agenda sendiri.

"Sebenarnya, kenyataan dia adalah untuk mengelirukan pengundi dan menekan pucuk pimpinan Bersatu untuk bertanding di Kuala Langat.

"Jadi, kami sayap bersekutu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika mengulas dakwaan Vasantha sebelum ini bahawa kerusi-kerusi untuk calon India di Selangor kini menjadi tanda tanya.

Terdahulu, Vasantha yang merupakan salah seorang daripada lima pemimpin Hindraf yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata bahawa PN belum dapat menentukan kerusi-kerusi calon India.

Vasantha membuat kenyataan itu atas kapasiti ahli jawatankuasa sayap bersekutu Bersatu.

Subramaniam bagaimanapun berkata bahawa Vasantha bukan lagi anggota jawatankuasa berkenaan.

"Dia telah dilucutkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa setelah bekas ketua Edmund Santhara meninggalkan Bersatu.

"Jadi, ini jelas membuktikan bahawa Vasantha cuba mempergunakan media untuk menekan pucuk pimpinan agar dapat bertanding di Kuala Langat," katanya.