Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'3 timbalan perdana menteri lebih baik dari 4 menteri kanan'
Diterbitkan:  Oct 24, 2022 4:20 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menepis pandangan yang mengatakan tiga timbalan perdana menteri adalah pembaziran.

Katanya, mempunyai tiga timbalan perdana menteri adalah lebih baik berbanding empat menteri kanan.

Ada orang kata, jawatan tiga TPM ini adalah satu pembaziran, namun pada pandangan saya, kita boleh hentikan empat jawatan menteri kanan dan digantikan dengan tiga TPM.

"Jika dianggap besar, kita boleh kurangkan gaji dan elaun mereka supaya tidak terlalu besar.

"Tiga TPM ini dilihat sebagai pilihan lebih baik, terutama di Sabah dan Sarawak kerana dapat membantu perdana menteri," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Ahmad diminta mengulas mengenai ikrar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan BN akan mempunyai tiga timbalan perdana menteri, mewakili Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sekiranya gabungan itu kembali memerintah kerajaan.

Jawatan timbalan perdana menteri adalah jawatan kabinet yang lazimnya tidak disertakan dengan portfolio. Sebaliknya, ia menandakan barisan seterusnya untuk mempengerusikan mesyuarat kabinet semasa ketiadaan perdana menteri.

Kebanyakan timbalan perdana menteri dalam sejarah Malaysia mempunyai gelaran menteri kedua. Sebagai contoh, timbalan perdana menteri terakhir Dr Wan Azizah Wan Ismail juga merupakan menteri bagi wanita, pembangunan masyarakat dan hal ehwal keluarga.

Timbalan perdana menteri Malaysia keenam Abdul Ghaffar Baba tidak mempunyai peranan menteri kedua.

Sejak Februari 2020, Malaysia tidak mempunyai timbalan perdana menteri. Sebaliknya, pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob mengamalkan sistem "empat menteri kanan".

Ahmad berpendapat bahawa menjanjikan tiga timbalan perdana menteri dalam manifesto BN akan menjadi "game changer".

"Kita tahu bahawa selama ini tidak pernah diberi peluang kepada Sabah dan Sarawak bagi jawatan perdana menteri dan TPM. Tetapi kali ini, di dalam manifesto BN, jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak telah diumumkan oleh presiden Umno.

"Perkara ini pastinya merupakan sesuatu yang cukup untuk rakyat di Sabah dan Sarawak," katanya.

Lihat Komen
ADS