Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘PRU15 masa terbaik tamatkan hayat politik Anwar di Tambun’
Diterbitkan:  Oct 26, 2022 11:29 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah peluang terbaik bagi rakyat Perak untuk "menamatkan" hayat politik ketua Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, kata seorang pemimpin Umno.

“Anwar tiada jasa di Tambun, Perak dan beliau bukan aset penting yang mesti diberikan kemenangan.

“Malah ini kesempatan terbaik kepada orang Perak untuk menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim. Jadi biar Tambun menjadi bukti sejarah Anwar Ibrahim hilang pengaruh di sini,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Shamsul Anuar Nasarah dalam satu hantaran di Facebook.

Ia susulan kenyataan Pengerusi PH Perak Mujahid Yusof Rawa yang berkata, rakyat Perak "bertuah" kerana Anwar, yang juga presiden PKR, akan bertanding di negeri itu.

Ini kerana belum pernah sebarang ahli parlimen Perak yang pernah menjadi perdana menteri, kata naib presiden Amanah itu yang dipetik portal Malaysia Gazette.

Shamsul seterusnya mengingatkan bahawa pengundi mereka juga mesti menolak Bersatu.

“Mengalahkan Anwar Ibrahim bukan bermakna kita bagi kemenangan kepada Bersatu. Kerana Bbersatu juga mesti dikalahkan.

“Kita yakin pertandingan 3 penjuru akan memberikan kelebihan kepada calon Barisan Nasional,” katanya.

Shamsul berkata pemimpin PH sering menukar kerusi yang ditandingi mereka sehingga tidak mampu berkhidmat untuk pengundi mereka.

“Saya harap kita sedar. Pimpinan PH termasuk Anwar Ibrahim sering bertukar kawasan bertanding setiap kali PRU kerana semasa mereka menjadi wakil rakyat di kawasan sebelumnya mereka tidak bekerja untuk rakyat.

“Sebab itu mereka berpindah kawasan. Anwar Ibrahim dari Port Dikson ke Tambun. Jadi pemilih di Parlimen Tambun jangan tersilap langkah,” katanya.

Selain Anwar, Shamsul juga menggesa rakyat untuk menamatkan hayat politk Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Dr Mahathir Mohamad.

“Kita mesti jadikan PRU15 medan menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad kerana dua watak ini telah merugikan negara sejak sekian lama,” katanya.

Untuk rekod, Anwar minggu lalu mengucapkan selamat tinggal kepada pengundinya di Port Dickson dan mengesahkan bahawa dia akan bertanding di Tambun pada PRU15.

Lihat Komen
ADS