Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi lebih cekap dari polis - Kit Siang tanya bila DAP jadi 'komunis'
Diterbitkan:  Oct 26, 2022 2:44 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Veteran DAP Lim Kit Siang membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dengan melabelnya sebagai “sesumpah” yang telah mencemarkan nama Islam dengan menyebarkan penipuan dan fitnah.

Bidasan Lim itu adalah susulan kenyataan Hadi yang mendakwa DAP yang majoriti pemimpin dan ahlinya adalah majoriti msayarakat Cina sebagai "komunis atau pro-komunis".

Secara sinis, Lim juga bertanya bila pemimpin PAS tersebut membuat penemuan itu - sebelum atau selepas PAS dan DAP menamatkan kerjasama politik mereka dalam Pakatan Rakyat, iaitu sebelum Pakatan Harapan dilahirkan.

“Hadi, (Presiden PKR) Anwar (Ibrahim), dan saya telah menandatangani persefahaman pembentukan Pakatan Rakyat, yang merupakan gabungan PAS, PKR, dan DAP pada tahun 2008, namun Pakatan Rakyat berakhir selepas Muktamar PAS pada bulan Jun 2015, apabila para pemimpin PAS di bawah Hadi memilih untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

“Bilakah DAP menjadi komunis atau pro-komunis? Adakah sebelum 2008 dan selepas 2015, atau adakah DAP ini komunis atau pro-komunis sepanjang bersama Pakatan Rakyat dari tahun 2008 hingga 2015?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hadi lebih cekap dari polis risikan

Dalam satu lagi sindiran yang tajam, Lim berkata Hadi seolah-olah mempunyai lebih banyak maklumat mengenai komunis berbanding unit cawangan khas polis di Bukit Aman, yang telah berjaya melawan komunis di Malaysia.

“Saya pernah ditahan dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi baik pimpinan DAP mahupun saya (belum) pernah dituduh sebagai komunis atau pro-komunis. Adakah Hadi mempunyai maklumat yang tidak dimiliki oleh Cawangan Khas yang mengatakan DAP ini komunis atau pro-komunis?

“Hadi mencemarkan nama Islam apabila dia mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal seperti: Kita (PAS) tidak suka DAP kerana mereka komunis. Tetapi semasa kita bekerjasama dengan DAP, tidak mengapa. Apabila kita bekerjasama dengan Bersatu dan Umno, DAP menjadi komunis semula,”

“Semasa DAP bekerjasama dengan (bekas mursyidul am PAS) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) dan Fadzil Noor, adakah DAP komunis atau pro-komunis?” soal Lim.

Kenyataan Hadi itu mengundang keberangan pelbagai pihak, termasuk pengerusi Pakatan Harapan, Anwar.

Minggu lalu, penyandang kerusi parlimen Klang MP Charles Santiago berkata pemimpin PAS itu harus dimaklumkan tentang nasihat Yang di-Pertuan Agong yang bertitah dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai-nilai murni dan adab perlu dijaga oleh para calon dan penyokong mereka.

Pemimpin politik juga dinasihatkan agar menjauhkan sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen.

Lihat Komen
ADS