Tiong Lai kecewa DAP tak calonkan Wong Tack
Bekas presiden MCA Liow Tiong Lai berkata dia kecewa apabila DAP tidak mengekalkan Wong Tack di kerusi parlimen Bentong.
“Bagi saya, Wong Tack telah menghampakan penduduk-penduduk di Bentong dan sepatutnya dinilai dan dihukum oleh penduduk bentong melalui PRU,” katanya.
Wong Tack semalam mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas selepas DAP memilih pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang Young Syefura Othman, sekali gus menolak kerusi gantian di Cameron Highlands.
Aktivis anti-Lynas itu antaranya berkata dia mahu terus berkhidmat kepada rakyat di Bentong, yang juga kampung halamannya.

DAP berkata Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara akan mencipta sejarah menjadi ahli parlimen wanita Melayu pertama DAP, jika menang.
‘Tak goyang lawan siapa pun’
Menulis di media sosial Tiong Lai berkata menukar calon dengan sewenang-wenangnya adalah “budaya oportunis” DAP.
Katanya, perkara itu tidak menghormati kemuliaan dan tanggungjawab jawatan wakil rakyat.
Sementara itu, mengulas peluangnya di situ, Liow berkata keazamannya untuk berdepan siapa pun tidak goyang.
“Kami tidak akan sesekali cuai atau lalai, kami akan sentiasa bersiapsiaga,” katanya.
Liow pernah dua kali berdepan dengan Wong Tack yang menyaksikan dia menang pada 2013 tetapi kalah pada 2018.
Bentong sebelum itu antara kubu kuat MCA yang menyaksikan kemenangan besar dengan majoriti berbelas ribu.
/file/614/e0e8c35f6b0a8682fad05500e9054d6b.jpg)
