Tiga pihak yang tidak pernah berputus asa melobi pemansuhan undang-undang tahanan pencegahan, termasuk Ordinan Darurat 1969 (EO), kini mempunyai satu lagi sebab untuk mendesak kerajaan berbuat demikian.

Ekoran dakwaan rasuah terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum, mereka berkata penggunaan undang-undang tersebut membuka ruang kepada mereka yang memegang kuasa untuk mengaut keuntungan daripadanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan perlu mengkaji semula kesahan EO ekoran dakwaan bahawa Johari telah membenarkan pembebasan tiga suspek penjenayah dengan bayaran melebih RM5 juta.

Dakwaan tersebut muncul hujung minggu lagi di internet dan dipetik oleh akhbar The Star. Johari telah menafikan dakwaan tersebut.

"Jika didapati benar, ia menjadi satu kes keselamatan negara, kerana mereka yang bertanggungjawab terhadap perkara-perkara keselamantan, boleh menjualnya kepada tawaran tertinggi," katanya.

EO yang membenarkan tahanan tanpa bicara, dakwa Wan Azizah, hanya menggalakkan pegawai terbabit untuk mengambil peluang daripada mereka yang ditahan.

Berdasarkan kepada statistik, EO lebih kerap digunakan berbanding dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang juga membolehkan tahanan dibuat tanpa bicara.

Badan hak asasi manusia, Suaram menganggarkan 700 orang kini ditahan di bawah EO sehingga tahun lalu, berbanding 89 tahanan ISA.

Wan Azizah juga menggesa supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji kesahan EO.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan supaya menggantung serta merta perkhidmatan Johari, kerana menurutnya, pihak polis akan sukar menjalankan siasatan yang adil kerana mereka di bawah beliau.

"Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga tidak sesuai, memandangkan badan penyiasat itu juga mempunyai skandalnya sendiri ekoran dakwaan rasuah terhadap Ketua Pengarahnya (Datuk Seri Zulkipli Mat Noor," katanya.

Zulkipli telah menafikan dakwaan tersebut, tetapi kerajaan kini berdepan dengan tekanan supaya menggantung perkhidmatannya sementara siasatan dijalankan.

Mansuhkan EO

Anggota Sekretariat Suaram, Elizabeth Wong pula berkata, EO mesti dimansuhkan bagi mengurangkan ruang untuk melakukan rasuah.

"Oleh kerana tahanan tiada akses kepada proses kehakiman, maka keluarga mereka akan menjadi tertekan. Ini menimbulkan keadaan di mana mereka yang memegang kuasa mungkin mengambil kesempatan. Dalam sistem kehakiman jenayah, kurang ruang untuk rasuah," kata Elizabeth.

Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh berkata, skandal tersebut mendedahkan wujudnya 'dwi-standard' yang teruk.

Katanya, EO digunakan apabila bukti tidak mencukupi untuk mendakwa seseorang dan apabila kebebasan seorang itu bergantung kepada satu atau beberapa orang, maka penyalahgunaan kuasa boleh berlaku.

Sejak 2005, Majlis Peguam telah menyediakan khidmat peguam untuk membantu tahanan EO di Pusat Tahanan Simpang Renggam. Ia juga menggesa supaya undang-undang tersebut dimansuhkan. Berita asal