Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pencetus kempen 'bendera putih' jadi calon PH di Pengkalan Chepa

PRU15 | Aktivis yang pernah mencetuskan idea kempen 'bendera putih' ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 dipilih sebagai calon Pakatan harapan (PH) di Parlimen Pengkalan Chepa, Kelantan.

Tidak asing sebagai aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ini adalah penyertaan kali kedua Nik Faizah Nik Othman, 48 dalam pilihan raya.

Kali pertama dia bertanding ialah di DUN Kelaboran pada pilihan raya umum 2018 bagi mewakili Amanah, namun tewas di kerusi berkenaan.

Meninggalkan alam pendidikan sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Dato' Hashim 1, Pengkalan Chepa pada 2002, Nik Faizah berkata dia berkecimpung dengan aktiviti khidmat masyarakat terlebih dahulu sebelum terjun ke dunia politik.

"Apa yang menjadi tunjang penyertaan saya dalam politik adalah khidmat kepada rakyat dalam usaha menyelesaikan permasalahan sosial, ekonomi dan tadbir urus negara.

"Jadi saya sentiasa bersedia untuk sahut cabaran apabila dipelawa supaya bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa. Walaupun baru beberapa tahun berpindah dari kawasan Tumpat, saya dan suami sudah lama menjalankan perniagaan di Pengkalan Chepa selain pernah mengajar di sini," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kota Bharu, semalam.

Parlimen Pengkalan Chepa merupakan salah satu kubu kuat PAS yang kini disandang Ahmad Marzuk Shaary.

Sementara itu, Nik Faizah yang juga timbalan ketua wanita Amanah Kelantan itu berkata, antara misinya adalah untuk melihat kawasan itu membangun sesuai dengan statusnya sebagai kawasan perindustrian utama Kelantan.

Liputan internet jadi kempen utama

Kata ibu kepada lima cahaya mata itu, walaupun berstatus kawasan industri, Pengkalan Chepa masih tidak mendapat liputan jalur lebar secara menyeluruh khususnya di kawasan perkampungan.

"Kawasan Pengkalan Chepa ini banyak kampung-kampung yang kita dapati masih mengalami masalah liputan internet sedangkan ia terkenal sebagai kawasan perindustrian sejak sekian lama.

"Tinjauan saya dapati ramai anak-anak pelajar yang tercicir pelajarannya dalam tempoh pandemik Covid-19 kerana masalah liputan internet sekali gus tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian," katanya yang mesra disapa sebagai Kak Jah.

Selain itu, dia juga berharap agar pengundi bertindak dengan lebih matang dan mendapatkan maklumat tepat dalam membuat pilihan pada PRU ke-15 ini.

"Saya berharap supaya pengundi khususnya golongan muda pulang dan keluar mengundi beramai-ramai.

"Urusan pemilihan pemimpin ini sangat penting kerana ia bakal mencorakkan masa depan mereka dan saya yakin orang muda sentiasa ikuti perkembangan serta maklumat yang tepat termasuk di media-media sosial," kata Nik Faizah.

Pencetus idea kempen #BenderaPutih

Untuk rekod, Nik Faizah merupakan individu pertama mencetuskan idea kempen #BenderaPutih bagi membantu golongan memerlukan ketika pandemik Covid-19.

Kempen itu kemudian berjaya mencetuskan fenomena dan mendapat sambutan baik di kalangan masyarakat di seluruh negara.

Sementara itu ditanya mengenai cetusan idea kempen berkenaan, Nik Faizah berkata dia mendapat ilham ketika sedang memikirkan ikhtiar untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pelaksanaan PKP.

Katanya kempen tersebut bertujuan supaya masyarakat sedar terdapat ramai yang sedang dalam kesusahan dan perlu diberi bantuan segera.

"Alhamdulillah kempen kibar bendera putih itu mendapat sambutan baik sekali gus memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan memandang keadaan sukar didepani mereka," ujarnya.

Lihat Komen
ADS