PRU15 | Sebelum DAP mengumumkan parti itu akan menggantikan penyandang ahli parlimen Klang, Charles Santiago pada pilihan raya umum ke-15, pengundi telah pun menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan berkenaan.

Ketika khabar angin Charles akan digugurkan sebagai calon, penyandang ahli parlimen Klang itu juga menawarkan diri untuk berkhidmat semula di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata parti itu telah bersetuju bahawa pilihan raya umum 2018 menjadi yang terakhir buat Charles.

“Charles telah difahamkan yang 2018 adalah penggal terakhirnya sebagai calon. Dia telah diberitahu pada masa itu (itu penggal terakhirnya),” kata Loke dalam wawancara dengan Malaysiakini di ibu pejabat DAP semalam.

Ditanya mengapa perjanjian sedemikian dibuat pada 2018, Loke mengetepikan soalan itu dengan mengatakan dia tidak mempunyai peranan pada masa itu.

Sebaliknya, Loke berkata Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo adalah individu yang lebih sesuai menjawab soalan berkenaan.

Loke juga enggan mengulas lanjut apabila ditanya kesediaan Charles untuk bertanding di Klang sekali lagi pada PRU15 dan menyifatkan perkara itu telah selesai kerana Charles sudah menerima keputusan parti.

Pada malam Rabu lalu, DAP mengumumkan ADUN Kota Kemuning V Ganabatirau akan menggantikan Charles sebagai calon di parlimen Klang pada PRU15, selepas beberapa minggu timbul spekulasi mengenainya.

Tidak lama selepas pengumuman itu, Charles meminta penyokongnya menyokong Ganabatirau, yang menurutnya turut berkongsi aspirasi yang sama dengannya dan pengundi.

Charles, yang sebelum ini memperjuangkan isu berkaitan air, telah menjadi wakil rakyat di Klang di selama tiga penggal sejak pilihan raya umum 2008.

Gobind sebelum ini dilaporkan berkata Charles telah diberi peluang berkhidmat di Klang selama tiga penggal dan parti itu harus memberi individu peluang kepada individu lain/

Loke juga menegaskan Charles telah diberi peluang untuk bertanding selama tiga penggal, walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.

“Bagi seseorang yang tidak memegang sebarang jawatan parti tetapi menjadi ahli Parlimen selama tiga penggal, ia agak luar biasa.

“Beritahu saya, parti mana yang boleh beri calon tiga penggal tanpa jawatan parti? Tiada, hanya DAP,” katanya.

Sama seperti Gobind, Loke berkata langkah menukar calon adalah perkara biasa dalam setiap pilihan raya kerana tanpa perubahan tidak muncul muka baru.

Dia juga menegaskan ada banyak peranan yang boleh dimainkan seseorang dalam parti, selain menjadi calon pilihan raya.

“Charles pastinya seseorang yang kami akan hargai. Saya secara peribadi akan pastikan beliau mempunyai peranan untuk dimainkan dalam parti,” tambah setiausaha agung parti itu.

Sambil melahirkan rasa terima kasih atas penerimaan Charles terhadap keputusan parti, Loke membandingkan tindakan Charles dengan penyandang ahli Parlimen Bentong, Wong Tack selepas mengetahui namanya digugurkan sebagai calon.

DAP juga baru-baru ini mengumumkan Wong akan digantikan dengan penyandang Adun Ketari, Young Syefura Othman sebagai calon di Parlimen Bentong.

Wong kemudian berkata dia akan bertanding di Bentong sebagai calon bebas di bawah "tiket rakyat".

Loke berkata langkah Charles yang menerima keputusan parti harus dicontohi oleh pihak lain.

“Itulah caranya. Maksud saya, sebelum keputusan dibuat, kamu boleh berhujah, mengemukakan kes kamu dan melobi, tetapi pada masa keputusan itu dibuat, kamu adalah orang parti, kamu perlu hormat keputusan itu.

“Saya katakan ini secara terbuka. Saya berterima kasih kepada (Charles) kerana bermurah hati dan menjadi 'orang parti',” tambah Loke lagi.