Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Charles: DAP tak pernah maklumkan ini penggal terakhir saya
Diterbitkan:  Oct 28, 2022 2:58 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Penyandang parlimen Klang Charles Santiago menegaskan bahawa tiada pengaturan atau petunjuk diberi kepadanya bahawa 2018 merupakan penggal terakhir dia bertanding di kerusi itu.

Menurutnya, kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang mendakwa demikian adalah langkah untuk mengurangkan kritikan terhadap penggantinya selepas dia tidak lagi dicalonkan bagi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Charles mengulas kenyataan oleh Loke baru-baru ini yang mengatakan bahawa 2018 sepatutnya menjadi penggal terakhir untuk Charles dan dia telah dimaklumkan dengan sewajarnya.

“Biar saya jelaskan perkara ini: DAP tidak pernah memaklumkan kepada saya bahawa 2018 adalah kali terakhir saya akan diletakkan sebagai calon.

"Tiada pengaturan sedemikian dan tiada petunjuk mengenai menggantikan saya (atau siapa yang membuat keputusan ini) pada 2013 atau 2018, seperti yang dicadangkan oleh Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo," kata Charles dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, katanya, kenyataan Loke adalah untuk mengurangkan kritikan selepas dia dikecualikan daripada senarai calon PRU15, walaupun sebelum senarai rasmi diumumkan.

Setiausaha Agung DAP Antony Loke

"Saya gembira kerana kedua-dua Loke dan Gobind telah mengiktiraf kemurahan hati di mana saya telah menerima keputusan parti tetapi malangnya mereka mengambil tindakan sedemikian, memandangkan kritikan umum yang kuat.

"Dan walaupun kritikan itu mengejutkan mereka, adalah tidak wajar bagi Loke dan Gobind untuk membayangkan bahawa mereka membantu saya dengan membenarkan saya meneruskan sebagai ahli parlimen memandangkan saya tidak memegang jawatan dalam parti," kata Charles.

Masih sokong DAP

Charles menegaskan bahawa dia masih mahu melihat DAP dan PH menang dalam pilihan raya.

Namun, katanya, dia perlu menjelaskan perkara sebenar kerana ia melibatkan integritinya.

“Saya tidak akan mengulas mengenai pencalonan saya lagi dan saya sekali lagi merayu rakyat Klang untuk mengundi PH.

"Saya menceburi politik untuk tujuan semata-mata untuk memajukan agenda rakyat dan memberi suara kepada mereka yang tidak boleh bercakap untuk diri mereka sendiri.

"DAP adalah platform yang saya pilih, dan ia telah menjadi platform terbaik untuk saya berbuat demikian, yang mana saya bersyukur selama-lamanya. Saya tidak berada dalam politik untuk membina puak saya," katanya.

Awal minggu ini, DAP mengumumkan Adun Kota Kemuning V Ganabatirau akan menggantikan Charles sebagai calon Klang pada PRU15.

Susulan pengumuman itu, Charles menggesa penyokongnya untuk menyokong penggantinya Ganabatirau bagi memastikan kemenangan untuk PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS