Sanggup lupa pengkhianatan? Sudah dijangka ulang skrip lama - Zahida
Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) tidak mempunyai sebarang tawaran baru untuk rakyat dan sekadar mengulang “skrip lama”, kata Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan.
Zarida merujuk kepada kesanggupan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad melupakan perbuatan 'khianat' Presiden Muhyiddin Yassin bagi membolehkan GTA dan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.
"Tiada apa yang mengejutkan, tindakan ini sudah dijangka. PH,PN,GTA akan kitar semula, dan ulang-ulang skrip sama dalam kempen PRU15 mereka.
"Tiada apa yang baru, tiada tawaran baik agenda rakyat selain daripada politik kebencian dan fitnah.
“Khianat mengkhianati akan terus berlaku, rakyat terus jadi mangsa kesan daripada kegilaan mereka.
"Hilanglah prinsip dan maruah seorang pemimpin," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Hantaran itu disertakan laporan berita mengenai kenyataan Dr Mahathir.
Bekas perdana menteri itu sebelum ini berkata parti pembangkang hanya boleh mengalahkan Umno dengan cara bekerjasama dan atas sebab itu dia memilih mengusulkan perkara itu kepada Muhyiddin, namun ditolak oleh pengerusi PN itu.
"Kita pun fikir takpalah kalau pun dia (pernah) tikam belakang (saya) kerana demi bangsa, negara, agama kita, kita sanggup rendahkan diri nak bersama dengan Muhyiddin, walaupun dia buat khianat saya, tak apalah saya boleh lupakan perkara itu.
"Tetapi bila kita cuba nak kerjasama dengan Muhyiddin tetapi dia jawab dia tak nak kerjasama dengan siapa sahaja, bukan main sombong," kata Mahathir.
Untuk rekod, PN ditubuhkan selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bertindak membawa keluar parti itu daripada PH yang menyaksikan kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad tumbang melalui Langkah Sheraton.
Muhyiddin membentuk kerajaan PN dengan sokongan PAS, BN dan GPS.
GTA pimpinan Mahathir pula ditubuhkan sebagai usaha pengerusi Pejuang itu untuk menghadapi PRU15.
GTA ditunjangi Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Berjasa serta badan bukan kerajaan (NGO).
Zahida berkata, ia berbeza dengan Umno BN yang mahukan kuasa untuk pulihkan kembali semangat rakyat, ekonomi rakyat serta kestabilan kerajaan.
"Ambil contoh di Melaka dan Johor, hasil mandat rakyat kepada BN, sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk, manfaatnya kembali kepada rakyat.
"19 Nov ini peluang kemasaan untuk kita kembalikan semula negara ke landasan sepatutnya," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/5c49d207097bbbd99e23d5300b959d1e.jpg)
