PRN Johor: Keputusan lelaki cabar SPR halang undi diketahui 7 Dis
Seorang pengundi berdaftar di parlimen Iskandar Puteri, Johor akan mengetahui pada 7 Disember jika dia berjaya dalam samannya susulan dihalang daripada membuang undi semasa pilihan raya negeri Johor awal tahun ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menetapkan tarikh keputusan semakan kehakiman oleh Tamileswaaran Ravi Kumar.
Hakim Amarjeet Singh awal hari ini mendengar hujahan lisan daripada peguam New Sin Yew dan peguam kanan persekutuan Mohammad Al-Saifi Hisham, yang masing-masing bertindak bagi pengundi berusi 27 tahun itu dan kerajaan.
Isu yang menjadi pertikaian ialah jika pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak mengikut undang-undang apabila menghalang Tamileswaaran daripada mengundi kerana dia disyaki mungkin positif Covid-19.
Pada 8 Jun lalu, pengundi itu memfailkan tindakan undang-undang yang menamakan SPR dan kerajaan sebagai responden.
Tamileswaaran memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan atau tindakan SPR yang menghalang dirinya daripada mengundi semasa pilihan raya negeri pada 12 Mac atas alasan dia masih dalam kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 pada 7 Mac lalu.
Dia juga memohon pengisytiharan bahawa SPR bertindak secara tidak sah dalam menafikan haknya untuk mengundi dan suruhanjaya itu telah mencabuli hak perlembagaannya di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Tamileswaaran, dia diarahkan menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19 dan pada hari pengundian adalah hari keenam dia menjalani kuarantin.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/01/885beacd463c43195ae13650aeb781f2.jpg)

