DAP Sabah umum 7 calon termasuk 4 muka baru
PRU15 | DAP Sabah hari ini menamakan tujuh calon mereka untuk parlimen di negeri itu, termasuk tiga penyandang untuk mempertahankan Kota Kinabalu, Tenom dan Sandakan.
Selain tiga kerusi yang dimenangi mereka - bersama Pakatan Harapan (PH) pada 2018 - DAP Sabah juga akan meletakkan calon di Papar, Batu Sapi, Lahad Datu dan Keningau.
“Kami akan meneroka kerusi yang lebih sukar pada PRU ke-15 ini kerana kami percaya Sabah dan Malaysia berhak mendapat yang lebih baik.
"Kami mahu memastikan kerajaan yang progresif, pelbagai dan inklusif diterajui PH dibentuk selepas 19 Nov," kata Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon, di majlis pengumuman calon di Kota Kinabalu hari ini.
Untuk rekod tiga penyandangnya kerusi parlimen sedia ada ialah Chan Foong Hin di Kota Kinabalu, Noorita Sual (Tenom) dan Vivian Wong (Sandakan), manakala muka baru diperkenalkan ialah Liau Fui Fui (Batu Sapi), Henry Shim Chee On (Papar), Oscar Sia Yu Hock (Lahad Datu) dan Grelydia Gillod (Keningau).
Kerusi Lahad Datu sebelum ini dimenangi calon Warisan, Mohamaddin Ketapi, yang kini sudah berpaling tadah dengan meninggalkan parti itu untuk menjadi Bersatu.
Dia kemudian turut meninggalkan Bersatu untuk menjadi ahli parlimen bebas.
Gillod pula bakal menentang ahli politik berpengaruh di Sabah, Jeffrey Kitingan.
Menurut Poon calon yang ditampilkan DAP Sabah kali ini merupakan wajah muda dan dan inklusif.
“Secara purata usia tujuh calon DAP Sabah adalah di bawah 40 tahun. Ini menunjukkan betapa berdedikasi kami membentuk generasi muda sebagai pemimpin.
"Ia juga merupakan detik bersejarah kerana lebih separuh daripada barisan ini adalah anak jati Sabah, dan lebih separuh adalah calon wanita dan muda tetapi berpengalaman," tambah Poon.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/2fa4917bb56877cde5086180735c723c.jpg)
