Pemegang saham rayu agar Bank Rakyat tidak dikawal kerajaan
Tiga pemegang saham memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi melepaskan Bank Rakyat daripada kawalan kerajaan.
Rayuan itu dikemukakan di hadapan mahkamah tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh hakim Has Zanah Mehat pagi ini.
Pada 26 Jun 2020, tiga pemegang saham Bank Rakyat - Abdul Aziz Zainal, Mustafha Abd Razak dan Rahim Yunus - memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Namun, mahkamah pada 10 Feb tahun lalu menafikan kebenaran kepada ketiga-tiga pemohon itu selepas membenarkan bantahan daripada wakil kerajaan di Jabatan Peguam Negara (AGC).
Antara bantahan yang dibangkitkan ialah permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan di luar garis masa. Mereka kemudiannya pada Mac tahun lalu memfailkan rayuan mereka.
Apabila perkara itu dibawa hari ini di hadapan mahkamah rayuan - turut bersidang sama oleh hakim Che Mohd Ruzima Ghazali dan See Mee Chun - perbicaraan yang dijadualkan pada mulanya ditangguhkan ke tarikh lain.
Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam utama pemegang saham Muhammad Shafee Abdullah, yang juga tidak dibantah oleh wakil peguam kerajaan, peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi.
Shafee memberitahu mahkamah bahawa mereka memohon penangguhan untuk memastikan jika terdapat konflik kepentingan di pihak peguam apabila bertindak untuk salah seorang pemegang saham itu.
"Saya tidak fikir ada, tetapi saya perlu jelaskannya dengan anak guam saya," kata peguam itu.
Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan dan menetapkan pengurusan kes perkara itu pada esok hari.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/01/23d2eedaefc68f2421bd4bcbbbe22bab.jpg)

