Pelaburan langsung asing (FDI) memuncak pada 2021 pada RM309 bilion dan ini adalah kejayaan semasa pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, kata ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali.
Berucap pada ceramah PN di Sepang malam semalam, Azmin, yang adalah menteri sementara perdagangan antarabangsa dan industri, berkata Malaysia meraih kejayaan itu di sebalik negara berdepan dengan wabak Covid-19.
Angka itu, kata Azmin, membabitkan pelaburan asing dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama yang diluluskan kerajaan.
“Maknanya bila syarikat besar (asing) masuk Malaysia, anak-anak dapat pekerjaan. Bukan buruh kasar. Tapi (kerja) pendapatan tinggi. Bila kilang dibina, pembinaan projek perumahan pula dibesarkan.
“Makcik Kiah boleh berniaga sebab pekerja nak makan pagi dan malam,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Prihatin Parlimen Sepang, di Sepang, Selangor malam tadi, yang dipetik oleh portal Berita Bersatu.
Azmin berkata kejayaan FDI Malaysia pada 2021 bukanlah usaha BN atau Pakatan Harapan (PH) tetapi kerja keras dan inisiatif oleh PN.
DAP tak akan ubah sikap ekstrem
Sementara itu, Muhyiddin pada majlis itu memberitahu hadirin bahawa DAP - parti komponen PH - tidak akan sekali-kali mengubah sikap ekstrem serta fahaman berhaluan kiri mereka.
Kataya, semasa bersama PH, dia telah menggesa Liew Chin Tong dari DAP supaya menasihati parti itu agar mengubah sikap pelampau mereka, tetapi ditolak.
“Saya kata… Chin Tong… sekarang saya bersama kamu… kerana Bersatu sokong PH untuk menolak kleptokrat… Jadi saya beritahu bahawa orang Melayu tidak sukakan DAP.
“Tapi sekarang kerana kita sudah bersama… saya kata boleh tak you sarankan kepada biro politik DAP supaya jangan terlalu ekstrem. Dia pun kata ekstrem.
“Apa ekstremnya? Menyentuh soal-soal yang berkaitan dengan perkara-perkara penting dalam Perlembagaan Negara. Soal Melayu dan macam-macam hak Raja-Raja dalam Akta Hasutan…. banyak perkara yang mereka lakukan. Dia kata akan bawa balik pada biro politik (DAP).
“Tetapi lepas itu dia maklumkan kepada saya dia dah bawa, tetapi biro politik DAP tak bersetuju,” katanya.
Muhyiddin dan Azmin kedua-duanya menghadiri majlis yang mengesahkan ketua wanita Bersatu Rina Harun sebagai calon PN untuk Sepang.
