Tindakan anggota parlimen Bachok Nik Abduh Nik Aziz memuat naik gambar bumi berwarna biru mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi di alam maya. 

Tambahan lagi ia dibuat ketika muncul cakap-cakap namanya tidak tersenarai sebagai calon PAS dalam pilihan raya umum kali ini.

“Madu habis sepah dibuang. Sampai hati depa buat camtu. Macam Depa nak padam legasi ATGNA (allahyarham Nik Aziz Nik Mat),” tulis seorang pengguna Facebook.

Biru merupakan warna yang sinonim dengan BN berbanding PAS yang sering menggunakan warna hijau.

Nik Abduh Nik Mat

Bagaimanapun di sebalik teka-teki itu, tujuh jam selepas itu dia memuat naik pula nukilan puitis, dilihat bagi “menjelaskan” perkara itu.

Bagaimanapun, susulan bait kata yang berbunga-bunga, niat sebenar dari bait kata-katanya sukar ditafsir.

Berikut tulisan Nik Abduh:

Bumi berpusing
Mencetus siang dan malam 
Kehidupan buat manusia
Bumi beredar
Mencetus panorama musim
Kehidupan buat manusia
Hijau nan meluruh 
Kembali dengan lebat buahan
Rezeki buat manusia
Biru nan melaut
Kembali dengan sarat muatan
Rezeki buat manusia
Keajaiban alam ciptaan hilang
Dek kebiasaan dan kealpaan
Kerana hati sudah hilang
Pandangan matanya
Lalu hilanglah ibrah dan iktibar.
Wahai insan
Berpusinglah dalam takdir tuhan
Agar mata hati kembali
Melihat keajaiban ciptaan
Mencetus zikir 'subhaanaka rabbi.

Sementara itu, perkara sama ditimbulkan kepada Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah, di Kota Bharu hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak dapat mentafsir apa yang dibuat oleh Nik Abduh berkenaan.

Mohd Amar Nik Abdullah

“Kena tanya dialah, saya pun tak tahu.

“Saya tak pandai nak tafsir-tafsir... nak tafsirkan tak pandai. Kena tanya tuan diri,” katanya.

Dia juga enggan mengesah atau menafikan berkaitan spekulasi Nik Abduh tidak tercalon kali ini.

Mohd Amar sebaliknya hanya berkata senarai calon sudah dimuktamadkan dan senarai berkenaan hanya ada di tangan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

“Orang lain tak ada senarai tu,” katanya.

Adun Panchor itu juga secara berseloroh meminta orang yang ingin mengetahui senarai calon PAS agar mengelak daripada tidur malam esok.

“Tunggu esokla... esok. Jangan tidur esok... tunggu sampai umum,” katanya.

Nik Abduh dilihat antara pemimpin PAS yang cenderung ke arah kerjasama dengan Umno berbanding Bersatu dalam pilihan raya umum kali ini.