Jangan hitamkan diari hidup kerana kecewa, kata Tuan Ibrahim
PRU15 | Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat cuba mengendurkan ketegangan sesetengah pihak ekoran ada pemimpin tertentu bakal digugurkan daripada bertanding sekali lagi.
Kata Tuan Ibrahim, untuk pemimpin yang berkenaan, mereka perlu berlapang dada kerana ditakdirkan Allah mahu "mengangkat taklif" (beban tanggungjawab) daripada mereka.
Justeru, katanya, dengan beralihnya tugas dan tanggungjawab berat tersebut, maka akan ringanlah urusan mereka di akhirat nanti.
"Jangan tukar haluan hidup semata-mata berasa kecewa kerana tidak terpilih.
"Mungkin ada tempat yang sesuai yang sedang disusun oleh Allah," katanya hari ini.
Dia yang juga penyandang kerusi parlimen Kubang Kerian menambah, ahli PAS yang tidak lagi dilantik menjadi calon perlu kekal dalan parti dan sedar hidup mereka tidak hanya terhad pada hari ini saja.
Bukan masa cari salah
Sebaliknya, kata Tuan Ibrahim, mereka perlu mengambil pengajaran daripada sejarah perjuangan PAS yang panjang.
"Jangan kita hitamkan diari hidup semata-mata menurut nafsu kekecewaan, lalu kita rasa pendapat kita lebih hebat dari pandangan jamaah," katanya.
Menjelang hari penamaan calon pada 5 Nov ini, pelbagai spekulasi tersebar dalam kalangan orang ramai khususnya mengenai nama-nama pemimpin yang didakwa tidak terpilih untuk bertanding.
Antara nama yang disebut-sebut ialah anak bekas menteri besar Kelantan, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. Dia dikatakan bakal digugurkan dan tempatnya di Bachok bakal diisi oleh orang lain.
Perikatan Nasional (PN) yang menjadi parti menggabungkan PAS bersama Bersatu dan Gerakan dijadual membuat pengumuman calon bagi PRU pada malam ini.
Tuan Ibrahim berkata sekarang bukanlah waktu untuk ahli PAS mencari kelemahan dan kesalahan, sebaliknya mereka perlu menutup segala kelemahan dan membina reputas positif dalam kalangan pengundi.
"Apabila kita dah buat keputusan melalui puluhan perbincangan, perundingan, perbahasan, maka tawakallah kepada Allah. Semoga Allah beri kemenangan kepada PN," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/dbf7571b800150b6eb5278ea0c6303a2.jpg)
