Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyelar kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang yag berkata, negara ini memerlukan konsep Ketuanan Malaysia, bukan Ketuanan Melayu jika mahu menjadi negara majmuk bertaraf dunia.

Menurut Zahid, konsep Ketuanan Melayu adalah tentang keistimewaan orang Melayu, Raja-Raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu yang telah termaktub sejak sekian lama.

Justeru, katanya, kenyataan Lim bukan sahaja berisiko menimbulkan syak wasangka di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama tetapi langsung tidak menyumbang kepada perpaduan kaum.

“Apakah maksud beliau terdapat golongan kelas pertama, kedua, atau ketiga antara kaum di negara ini?

“Seolah-olah mahu menggambarkan berlaku diskriminasi dalam kalangan kaum di Malaysia.

“Sedangkan semua menyaksikan rakyat berbilang kaum berada di pelbagai peringkat terpenting di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Lim dalam kenyataannya, hari ini berkata konsep Ketuanan Melayu cuma penyamaran kepada ‘Umnoputra’ yang didakwanya menjadi kaya raya ketika golongan bumiputera sebenar miskin dan tertinggal.

Malah, kata penyandang kerusi parlimen Iskandar Puteri itu, konsep Ketuan Melayu bertentangan dengan prinsip asal pembinaan Malaysia bahawa Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak, adalah rakyat Malaysia yang sama rata dan tiada golongan kelas pertama, kedua, atau ketiga.

Mengulas kenyataan itu, Zahid berkata, sosioekonomi, sosiopolitik dan segala-galanya yang menjadi acuan negara ini sejak dulu.

Sebagai contoh, katanya, BN merangkumi pimpinan dan ahli parti terdiri daripada pelbagai kaum.

“Parti DAP sendiri sejak sekian lama berada dalam kancah politik Malaysia tanpa sebarang sekatan dan halangan.

“Begitu juga dalam hierarki sektor korporat serta tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Daripada golongan profesional sehingga kepada peserta ekonomi gig. Berhentilah DAP dengan anasir kempen seperti ini,” katanya.