Isu buang sepanduk, DAP buat laporan polis
DAP Johor telah membuat dua laporan polis selepas empat sepanduk yang dipasang parti itu sempena sambutan Tahun Baru Cina telah dibuang oleh syarikat swasta yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) untuk mengendalikan semua urusan pemasangan sepanduk dalam kawasan pentadbirannya.
DAP Johor telah membuat dua laporan polis selepas empat sepanduk yang dipasang parti itu sempena sambutan Tahun Baru Cina telah dibuang oleh syarikat swasta yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) untuk mengendalikan semua urusan pemasangan sepanduk dalam kawasan pentadbirannya.
Laporan pertama dibuat oleh Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, di balai polis Skudai mendakwa sepanduk tersebut telah dibuang oleh tiga pekerja syarikat berkenaan pada jam 4 petang 22 Februari lalu. Beliau membuat laporan itu pada hari yang sama jam 5.07 petang.
Menurutnya, DAP memasang sepanduk berkenaan selepas mendapatkan permit daripada syarikat itu Southern Ads Sdn Bhd bagi pihak MPJBT untuk tempoh sehingga 28 Februari lalu.
Dr Boo berkata, sewaktu beliau membuat laporan polis tersebut, Setiausaha Pemuda DAP Johor, Tan Hong Pin menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang mendakwa pengarah Southern Ads, serta mendakwa bahawa syarikat tersebut adalah milik Tengku Mahkota Johor.
Ekoran itu, katanya, Tan turut membuat laporan mengenainya di balai polis yang sama. Dalam laporannya Tan mendakwa lelaki itu meminta supaya jangan mengambil sebarang tindakan terhadap Southern Ads.
Tan berkata, beliau bimbang lelaki berkenaan menggunakan nama Tengku Mahkota Johor dan oleh itu, terus membuat laporan polis demi menjaga nama baik Tengku Mahkota daripada tidak dicemari.
Sementara itu, Dr Boo berkata, parti itu membuat laporan polis kerana sepanduk tersebut dipasang dengan kebenaran MPJBT, selain mengesyaki nama Tengku Mahkota digunakan oleh individu tertentu untuk kepentingan peribadi.
Lawatan PM
Dr Boo berkata, beliau sendiri yang menyaksikan sepanduk tersebut telah dibuang oleh tiga pekerja syarikat Southern Ads yang berpakaian seragam sebelum memasukkannya ke dalam lori.
"Seorang pekerja syarikat tersebut memberitahu, mereka membuang sepanduk DAP itu kerana Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melawat kawasan Gelang Patah," katanya.
Berikutan peristiwa itu, DAP, kata Dr Boo juga menghantar surat kepada Perdana Menteri, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Polis Johor.
Dr Boo berkata, tindakan MPJBT seharusnya dipandang serius kerana amalan demokrasi dan undang-undang semakin diabaikan oleh pihak berkuasa tempatan.
"DAP juga meminta kerajaan memberi penjelasan adakah pemberian konsesi kepada Southern Ads munasabah dan sah di sisi undang-undang," katanya.
Sementara itu, Penolong Penguatkuasa MPJBT, Mazlan Sahid ketika dihubungi berkata, Southern Ads telah diberi kontrak memasang sepanduk dan pemidang di dalam kawasan pentadbiran majlis itu.
Katanya, mana-mana syarikat lain atau parti politik yang mahu memasang sepanduk mesti mendapat kebenaran Southern Ads terlebih dahulu.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa DAP mendapat kebenaran MPJBT untuk memasang sepanduk berkenaan.
Arahan pejabat MB
Beliau berkata, pihaknya kemudiannya mendapat arahan daripada Pejabat Menteri Besar Johor supaya kawasan MPJBT dibersihkan daripada sepanduk yang dipasang tanpa permit..
Berikutan itu, Mazlan berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Southern Ads untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya dimaklumkan bahawa Southern Ads telah membuang semua sepanduk yang dipasang, termasuk yang dipasang dengan kebenaran.
Sementara itu, Pengarah Urusan Southern Ads, Kamal Hisyam Jaafar ketika dihubungi malaysiakini mengakui bahawa pekerja syarikatnya telah membuang sepanduk besar yang dipasang oleh DAP.
Katanya, DAP telah diberi permit untuk memasang enam sepanduk besar dalam kawasan MPJBT, tetapi pihaknya membuang empat daripadanya kerana tidak dipasang di tempat yang dibenarkan.
Kamal berkata, pihaknya membuang empat sepanduk tersebut kerana ianya dipasang di tiang lampu isyarat sehingga mengganggu lalulintas, di tiang elektrik dan digantung di pokok.
"Kita bukan nak buang, tetapi kita mahu mengalihnya dan dipasang semula di tempat yang dibenarkan," katanya.
Menurut Kamal lagi, sebelum itu, pihaknya telah menghubungi DAP untuk memaklumkan mengenai perkara itu dan parti itu memberitahu bahawa urusan pemasangan sepanduk tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat.
Dipasang di tempat salah
"Kami kemudiannya menghubungi syarikat tersebut dan bertanya sama ada ia akan membuangnya sendiri atau pihak kami yang menguruskannya.. Sebaliknya, ia meminta kita menguruskanya kerana pekerjanya sedang berada di Muar," jelas Kamal.
Pada hari sama, kata beliau, pihaknya telah menyerahkan empat sepanduk tersebut kepada syarikat berkenaan.
Kamal juga mengakui bahawa beliau telah menghubungi setiausaha Pemuda DAP Johor itu untuk memaklumkan mungkin perkara tersebut terjadi akibat salahfaham antara pekerja syarikatnya dengan pihak DAP.
"Tetapi Tan cuba menyalahkan pihak kami dan membangkitkan isu mengenai Tengku Mahkota Johor. Sewaktu menghubungi Tan, saya tidak pernah menyebut yang Tengku Mahkota mempunyai saham dalam Southern Ads...mungkin dia tahu dari pihak lain," kata Kamal.
Ditanya mengenai arahan pejabat Menteri Besar Johor itu, beliau berkata, pihak tidak dimaklumkan mengenainya dan operasi yang dijalankan pada 22 Februari adalah dibuat oleh pihaknya sendiri, dan tiada kena mengena dengan lawatan Perdana Menteri ke Johor.
Dalam operasi yang dijalankan pada hari yang sama, Kamal berkata, pihaknya telah membuang 40 sepanduk lain dan bukannya sepanduk DAP sahaja.
"Jika kita hendak membuang sepanduk DAP, dari awal lagi kita tidak akan beri permit kepada parti itu untuk memasang sepanduk sempena sambutan Tahun Baru Cina," katanya.

