50 orang berkumpul di depan balai Ampang Jaya
Kira-kira 50 penyokong dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya malam tadi kerana membantah penahanan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.
Kira-kira 50 penyokong dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya malam tadi kerana membantah penahanan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.
Mereka termasuk Ketua Penerangan PKR Selangor, Abdul Razak Ismail; Ketua PKR bahagian Bukit Bintang, Puspa Lingam dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arulchelvam.
Mereka menyalakan lilin dan melaungkan `Reformasi' mulai jam 9.30 malam hingga 11 malam tadi.
Tian Chua dan lima orang lagi, termasuk tiga penduduk Kampung Berembang, ditahan ketika cuba menghalang pihak pemaju daripada merobohkan rumah di kawasan tersebut.
Mreka dibawa ke balai polis Ulu Klang di Taman Sri Keramat dan ke balai polis Ampang Jaya di Taman Dagang.
Ketika ditemui, Puspa berkata, mereka berhimpun kerana membantah tindakan polis menahan Tian Chua yang didakwanya dibuat secara tidak adil.
"Kami cuba mendapatkan maklumat dari pihak polis mengenai penahanan tersebut tetapi polis enggan bekerjasama," katanya.
Laporan polis
Sebelum itu, Abdul Razak membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Balai Ampang Jaya, Cif Inspektor Marlindo Mohamad dan enam atau tujuh anggota polis lain kerana menyebabkan kecederaan ke atas beliau semasa kejadian di Kampung Berembang.
.
Dalam laporan tersebut, Abdul Razak berkata, pipi kirinya bengkak, kedua pergelangan dan sikunya luka kerana gari yang terlalu ketat dan dihimpit dengan tangan bergari ke belakang.
"Tulang rusuk saya begitu sakit kerana ditendang oleh seorang anggota polis, badan sakit kerana ditindih oleh lima tau enam anggota polis, bibir pecah dan berdarah kerana disepak oleh seorang anggota polis," katanya.
Abdul Razak berkata, beliau cuba menghalang kira-kira 30 hingga 40 pekerja pemaju tersebut yang sedang merobohkan rumah penduduk dan mengasari beberapa penduduk.
"Tiga anggota polis memakai jaket kuning telah menolak saya ke tanah dan selepas itu enam atau tujuh anggota polis lain memijak dan menindih dengan begitu kasar," katanya.
Abdul Razak mendakwa, salah seorang anggota polis terbabit menyepak rusuk dan memijak pipi dan tengkuknya, ketika tangannya digari dari belakang.
Katanya, beliau diseret oleh lima atau enam anggota polis dan membiarkan beliau berjemur di tengah panas di tepi jalan masuk ke Kampung Berembang.
Menurutnya, tidak berapa lama selepas itu beliau telah dibawa ke balai polis Hulu Kelang untuk diambil kenyataan sebelum dibebaskan.

