Tian Chua ditahan reman dua hari
Ketua Penerangan Parti Rakyat Keadilan (PKR), Tian Chua hari ini dikenakan perintah tahanan reman selama dua hari berhubung siasatan tuduhan cubaan membunuh.
Ketua Penerangan Parti Rakyat Keadilan (PKR), Tian Chua hari ini dikenakan perintah tahanan reman selama dua hari berhubung siasatan tuduhan cubaan membunuh.
Majistret Mahkamah Ampang, Nurul Husna Awang membenarkan tahanan reman terhadap Tian yang ditahan semalam kerana didakwa memandu kereta Toyota Camry miliknya merempuh sekatan dan hampir melanggar seorang lelaki di Kampung Berembang, Ampang.
"Beliau dikatakan telah memandu keretanya dan melanggar pagar, dan hampir mencederakan seseorang yang berada di belakang pagar itu," kata peguam Chua, Amer Hamzah di luar Mahkamah Mahkamah Majistret Ampang.
Kejadian itu dikatakan berlaku pada jam 11.40 pagi.
Pemuda turut ditahan reman
Ketua Polis Ampang Jaya, ACP Amer Awal memberitahu wartawan semalam bahawa pengadu, seorang pekerja syarikat pemaju, terselamata tanpa sebarang kecederaan selepas melompat dari situ. Pekerja itu membuat laporan polis terhadap Chua, yang kemudiannya ditangkap.
Chua disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman 10 hingga 20 tahun penjara jika didapati bersalah.
Polis turut mendapatkan perintahan reman yang sama terhadap seorang penduduk Kampung Berembang yang berusia 24 tahun.
Menurut Amer, pemuda itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalangkan kakitangan kerajaan menjalankan tugas mereka, yang boleh dihukum denda sehingga RM1,000 dan sehingga tiga bulan penjara atau kedua-duanya.
Katanya, pemuda itu juga didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana "tindakan menghina" yang boleh dihukum denda sehingga RM100.
Ada kepentingan
Amer berkata, kedua-duanya ditahan semalaman oleh polis dan tempoh itu, menurutnya, sudah mencukupi untuk menjalankan siasatan jika ia dijalankan dengan baik.
Peguam Latheefa Koya yang mewakili Chua berkata, salah satu alasan polis untuk menahan reman Chua ialah Chua diperlukan untuk kawat cam bagi menentukan beliau yang memandu kereta itu sewaktu kejadian tersebut.
"Ini menunjukkan pihak polis telah membuat tangkapan sebelum siasatan dijalankan [...] ini bermakna polis tidak tahu siapakah yang dimaksudkan oleh (orang yang membuat laporan polis terhadap Chua).
"Tindakan polis (menahan Chua) itu adalah bias dan menyebelahi pihak pemaju," kata Latheefa, sambil menambah, pemaju tersebut mempunyai kepentingan dan itulah sebabnya Chua mesti ditahan.
Chua berada di Kampung Berembang untuk memberi sokongan kepada para penduduk yang enggan berpindah dari rumah mereka kerana mendakwa tidak diberi layanan yang adil oleh pihak pemaju dan pemilik tanah tersebut.
Penyokong berkumpul
Kedua-dua peguam tersebut kini dalam proses mendapatkan laporan polis terhadap pelanggan mereka itu.
Kira-kira 50 penyokong berkumpul di Mahkamah Majistret Ampang hari ini dengan membawa poster yang menuntut supaya Chua dibebaskan.
Pihak polis bagaimanapun sempat membawa keluar Chua dan pemuda tersebut tanpa disedari oleh para jurugambar media.
Manakala penyokong dan ahli PKR juga berkumpul di balai polis Ampang Jaya malam tadi, tempat Chua ditahan.

