Parti Warisan akan bertanding empat kerusi Parlimen dan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Warisan Perak S Sunther berkata parti itu akan bertanding di Parlimen Kampar, Gopeng, Tapah dan Lumut manakala lapan kerusi DUN yang bakal ditandingi ialah Malim Nawar, Sungai Rapat, Teja, Simpang Pulai, Chenderiang, Ayer Kuning, Pasir Panjang serta Pangkor.

"Kita pilih kerusi berdasarkan analisis data yang dibuat selain calon tempatan termasuk yang termuda berumur 29 tahun di DUN Simpang Pulai," katanya pada sidang media Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Warisan Negeri Perak di Ipoh hari ini.

Pada 18 Jun lepas, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal ketika menerima borang keahlian di Ipoh memaklumkan parti itu hanya akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN Perak yang diyakini mampu meraih kemenangan.

DUN Perak mempunyai 59 kerusi. Sebelum pembubaran pada 17 Okt lepas, ia terdiri daripada 25 Ahli DUN (ADUN) Barisan Nasional, DAP (15), Parti Amanah Negara (lima), Bersatu (empat) dengan PAS, PKR dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing tiga manakala Bebas (satu).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Sementara itu, Leong Cheok Keng yang dijangka mempertahan kerusi DUN Malim Nawar atas tiket Warisan, menzahirkan penghargaan kepada parti tersebut kerana sudi memberikan ‘rumah baharu’ ketika beliau benar-benar memerlukannya.

"Saya sudah berkhidmat di Malim Nawar lebih dua penggal. Justeru, saya akan berusaha memenangi kerusi itu bagi membolehkan saya terus berkhidmat di kawasan berkenaan," katanya sambil menambah beliau ditawar menyertai parti itu pada 1 Nov lepas.

Sebelum ini, Leong yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan, memenangi kerusi DUN Malim Nawar dalam PRU14 pada 2018 dan beliau telah menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada awal tahun ini.

- Bernama