Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan dua bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) berhubung dakwaan di lamanweb bahawa Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum menerima sogokan RM5.5 juta bagi membebaskan tiga penjenayah mengikut Ordinan Darurat.

Menurut laporan Bernama yang memetik satu sumber, salah seorang lelaki itu yang berasal dari Chemor, Perak ditahan di Ipoh minggu lalu manakala seorang lagi ditahan di ibunegara kelmarin.

Katanya, dengan penahanan dua bekas tahanan EO tersebut, maka pihaknya kini boleh membuat siasatan komprehensif terhadap dakwaan tersebut.

Seorang daripada lelaki itu ditahan pada Oktober tahun lalu mengikut Ordinan Darurat kerana mempunyai wanita warga asing bekerja di rumah urutnya di Ipoh serta mengetuai kumpulan kongsi gelap.

Manakala difahamkan lelaki yang seorang lagi itu merupakan ahli perniagaan terkenal

kerana memiliki rangkaian kedai nombor ekor di Lumut, Perak serta merupakan adik kepada seorang timbalan menteri.

Lelaki yang berumur 42 tahun itu dan diburu polis sejak enam tahun lalu, dipercayai mengetuai kumpulan kongsi gelap yang memeras ugut ahli perniagaan di sekitar Sitiawan bagi membayar wang perlindungan. Dia ditahan Disember tahun lalu.

Dia diberkas semasa memperbaharui pasport antarabangsanya di Sitiawan kerana tidak menyangka namanya berada dalam senarai Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa itu telah memaklumkan kepada polis mengenai kehadirannya di pejabat tersebut.

Beri penjelasan

Sehingga kini, hanya seorang saja lagi yang masih belum ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung tuduhan rasuah berkenaan iaitu lelaki dari Kota Kinabalu, Sabah yang juga bekas tahanan Ordinan Darurat yang dikaitkan dengan kes pembebasan RM5.5 juta itu.

Ketiga-tiga penjenayah yang dibebaskan itu. didakwa terbabit dalam kegiatan gengsterisme, perjudian, pelacuran dan ceti haram atau Ah Long.

Sementara itu, Johari ketika dihubungi Bernama berkata beliau telah memberi penjelasan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung tuduhan terhadapnya di laman web www.freewebs/msia-today.

"Cukuplah, tolong jangan sensasikan isu itu," katanya sambil menerangkan beliau tidak mahu media membesarkan isunya.

Ditanya mengenai pengisytiharan harta, katanya sudah menjadi peraturan setiap anggota Parlimen perlu membuat pengisytiharan harta setiap dua tahun.

Beliau juga menegaskan sedia memberi kerjasama kepada BPR untuk membantu siasatan bagi menyelesaikan siasatan secepat mungkin.