Siasatan polis terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Zulkipli Mat Noor kini tertumpu pada aspek mengimbangi kenyataan bekas Pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Abdul Manan dan pemilikan harta Zulkipli dalam tempoh 10 tahun.

Ketika menegaskan demikian, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata siasatan itu memerlukan sedikit masa kerana polis terpaksa membongkar kes, yang pernah dilaporkan, 10 tahun dahulu.

"Bukan mudah untuk menelusi fakta-fakta kes yang "backdated". Lagipun pasukan khas kami dianggotai tiga pegawai, jadi mereka memerlukan masa dalam memastikan tiada fakta tercicir," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Ramli, yang bersara wajib pada 8 Disember lalu telah membuat aduan polis Julai lalu mendakwa Zulkipli adalah "seorang pegawai kanan polis rasuah dengan memiliki harta dan aset diperolehi menerusi amalan rasuah."

Antara dakwaan itu termasuk Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan pendapatannya di mana beliau didakwa memiliki beberapa kepentingan dalam pelbagai perniagaan dan hartanah termasuk enam buah rumah di Pagoh, Johor dan menyalahgunakan kenderaan kerajaan.

Ekoran pendedahan itu, Zulkipli dan Ramli dipanggil oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok Isnin ini.

Ramli semalam mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur terhadap Ketua Pengarah BPR dan lima lagi, kerana didakwa memfitnah serta menahan pembayaran pencen dan faedah persaraan beliau sejak tahun lalu.