Ketika timbul rungutan berkenaan perwakilan wanita yang tidak mencukupi pada pilihan raya umum (PRU) ke-15, DAP tampil berkata bahawa mereka merupakan parti yang meletakkan calon wanita paling ramai.

Menurut Ketua Wanita DAP Chong Eng, 25 peratus (14 daripada 55) calonn parti itu yang bertanding dalam pilihan raya adalah wanita, iaitu lebih tinggi berbanding 13.6 peratus (88 wanita) daripada jumlah keseluruhan calon wanita yang bertanding.

“Ini adalah satu kejayaan yang dicapai sejak DAP mula mengkaji kaedah untuk meningkatkan bilangan penyertaan wanita dalam politik pada 2016.

"Dan DAP telah mencapai 30 peratus wanita dalam jawatankuasa eksekutif pusatnya tahun ini melalui sistem kuota," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan senarai calon yang diumumkan setakat ini, Chong Eng berkata BN meletakkan 19 calon wanita (11 peratus), Perikatan Nasional (PN) 14 calon wanita (9.3 peratus), manakala Pakatan Harapan (PH) diwakili 40 calon wanita (18. peratus).

“Daripada 43 kerusi parlimen yang ditandingi MCA, tujuh daripadanya adalah calon wanita iaitu 16 peratus manakala DAP, daripada 55 kerusi yang ditanding, 14 calon wanita atau 25.4 peratus,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan jumlah itu, sukar untuk mencapai kuota 30 peratus wanita di parlimen.

Justeru, katanya, selain meletakkan lebih ramai calon wanita untuk bertanding dalam pilihan raya, pendekatan baru juga perlu diguna pakai untuk memenuhi kuota tersebut.

“Wanita membentuk 48.64 peratus daripada penduduk negara, dan meningkatkan bilangan calon wanita membantu mendorong kesejahteraan dan kepentingan ibu, kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya dan keluarga.

"Lebih ramai wanita, terutamanya ibu yang menjadi ahli parlimen akan membantu parlimen dan kabinet untuk membuat dasar yang lebih inklusif," kata Adun Padang Lalang itu.

Untuk tujuan ini, kata Chong Eng, Akta Pilihan Raya perlu dipinda untuk menghendaki parti politik memastikan peratusan tertentu calon wanita diletakkan dalam pilihan raya akan datang.