PRU15 l Penyandang Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad menyatakan keyakinan untuk terus mempertahankan kemenangannya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berdepan empat calon daripada parti lawan.

Bagaimanapun kata bekas perdana menteri itu dia tidak pasti dengan latar belakang atau kualiti calon-calon yang ditampilkan pihak lawan.

"Saya rasa ada peluang yang baik untuk menang. Saya tidak tahu kualiti calon-calon lain.

"Setakat yang saya lihat, saya mempunyai sokongan yang baik dan kami bersemangat," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRU15 Parlimen Langkawi di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, hari ini.

Mahathir yang juga pengerusi Pejuang mewakili partinya berdepan empat calon lain iaitu Armishah Siraj (BN), Mohd Suhaimi Abdullah (PN), Zabidi Yahya (PH) dan Abd Kadir Sainudin (Bebas).

Sementara itu ditanya mengenai rancangan untuk tempoh akan datang katanya mahu menyelesaikan permasalahan feri dan sampah di pulau peranginan itu.

Jelasnya perkara itu antara masalah yang tertangguh dan gagal diselesaikan ketika menjadi perdana menteri.

"Saya ada banyak rancangan untuk Langkawi dengan syarat saya menang dan kita jadi kerajaan. Salah satunya masalah feri.

"Sekarang feri hanya boleh berjalan empat kali sehari kerana air masalah air surut (di jeti). Kami tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu.

"Selain itu antaranya masalah sampah yang belum selesai untuk jadikan Langkawi lebih bersih," kata Mahathir.